LARACHI - Busuk, kotor dan menjijikkan. Itulah rumusan bagi menggambarkan bandar terbesar Pakistan, Karachi yang diselubungi isu pencemaran kritikal.
Ia diburukkan lagi dengan isu kebersihan apabila sampah dan sisa makanan dibuang di tepi jalan sehingga mengundang ketidakselesaan.
Bukan sahaja mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, malah ia menjadi ‘syurga’ buat haiwan dan serangga perosak.
Sampah dibiarkan menggunung juga menyumbang kepada masalah perparitan yang mencetuskan banjir saban tahun di Karachi.
Bencana banjir yang berlaku setiap kali musim hujan adakalanya berlanjutan selama lebih seminggu yang bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian, malah mengancam nyawa penduduk di bandar berkenaan.
Selain itu, lebih 16 juta penduduk di bandar tersebut menanggung penderitaan akibat jalan raya berlubang yang turut menyumbang kepada kerosakan mekanikal kenderaan.
Maka, tidak hairanlah Karachi dinobatkan sebagai bandar paling tidak sesuai didiami di dunia oleh Indeks Kebolehhidupan Global 2022.
Buat penduduk, situasi di Karachi bagaikan ‘neraka dunia’ kerana kesulitan yang dihidapi membuatkan mereka perit untuk menjalani kehidupan seharian.
"Keadaan di Karachi sangat teruk. Saya baru sahaja menghantar anak ke sekolah dan sepanjang laluan boleh dilihat sampah merata-rata.
"Keadaan sekeliling amat kotor, kuman yang ada menyebabkan anak-anak mudah jatuh sakit.
"Mereka mengalami demam dan cirit-birit, malah di sekolah ada air hujan yang bertakung,” kata penduduk, Naila Abid.
Tambah Naila, kerajaan yang memerintah Pakistan perlu mengambil langkah proaktif untuk membersihkan sampah sarap tersebut.
"Sekurang-kurangnya laluan di sekitar sekolah perlu dibersihkan.
"Ada kanak-kanak jatuh ke dalam kawasan lopak dan pakaian mereka menjadi kotor,” katanya.
Nada sama disuarakan pesara, Rizwan Khan yang mahu jalan-jalan sekitar Karachi diturap bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.
"Setiap jalan rosak dan terdapat lopak air di mana-mana. Pencemaran bau melengkapkan lagi penderitaan kami.
"Kami umpama hidup dalam neraka. Kerajaan mesti ambil tindakan segera bagi mengatasi permasalahan ini,” ujarnya.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan menjelaskan perancangan dan penyelenggaraan yang lemah membuktikan Karachi masih tidak mampu untuk menghadapi kepesatan kadar pembangunan penduduk. - Agensi