Banyak pihak seleweng minyak masak

Iklan
Azman memaklumkan pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi lain

SHAH ALAM - Tidak dinafikan terdapat pembabitan pihak industri, pembungkus serta pemborong dalam kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, siasatan mendapati modus operandi penyeludupan minyak masak ini adalah mendapatkan minyak peket plastik bersubsidi sebelum dipotong dan diletakkan di dalam botol atau tangki khas yang kemudian diedar kepada pihak industri.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sekiranya ia diseludup ke negara luar pula, minyak masak itu akan dibeli dalam jumlah yang banyak sebelum dikumpulkan lalu diseludup apabila tiba masa sesuai.

"Rantaian penjualan minyak masak subsidi ini sangat besar, kita ada pihak pembungkus dan lebih 4,000 pemborong serta lebih 40,000 peruncit. Dari situ juga ada pengguna lain yang turut mendapatkan bekalan tersebut.

Iklan

"Setakat kes dikenal pasti, semua pihak ada dikesan terlibat dengan penyelewengan termasuklah pembungkus, pemborong, industri dan peruncit. Namun, tidak semua terlibat dalam kegiatan ini, hanya sebahagian.

"Rantaian ini pula pelbagai dan mereka ini akan mengambil peluang di mana sahaja.

Iklan

"Contohnya bila mereka lihat peniaga di pasar borong menerima bekalan yang banyak daripada pembekal, mereka akan buat pembelian di situ sebelum pergi ke premis lain,” jelasnya ketika wawancara bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat KPDNHEP Putrajaya, baru-baru ini.

Berstruktur

Azman berkata, kegiatan ini dijalankan sama ada secara berstruktur dan tidak berstruktur.

Jelas beliau, modus operandi secara berstruktur ini kebiasaannya adalah melibatkan pemalsuan dokumen dengan rantaian tertentu.

"Kebocoran itu boleh berlaku di mana-mana. Oleh sebab itu amat penting KPDNHEP melaksanakan penjejakan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.

"Ada juga pihak yang dikesan apabila ada peluang, mereka akan masuk dan menjadi sebahagian daripada penyeleweng. Contohnya, ada peluang untuk dapatkan bekalan dan kenalan rantaian untuk seludup, maka masa itu mereka akan bertindak.

"Kaedah menyeludup itu pelbagai dan kebiasaan yang dikesan seperti di sempadan negara mereka menggunakan bot, lori dan sebagainya,” ujar beliau.

Mengulas mengenai faktor minyak masak bersubsidi yang dikesan diseludup ke negara jiran, Azman menjelaskan, kegiatan itu dikesan sejak sekian lama kerana permintaan minyak masak di negara jiran adalah tinggi disebabkan harga minyak masak Malaysia yang rendah selain kualiti dengan jaminan halal.

Beliau memberitahu, berdasarkan jenama minyak masak yang ditemui itu, pihaknya akan berusaha mengesan rantaian terakhir bagi mengenal pasti siapa pihak bertanggungjawab.

"Kertas siasatan dibuka berdasarkan bukti dan kita tidak kira siapa terlibat untuk diambil tindakan. Ada tindakan telah diambil ke atas syarikat dan individu,” katanya.

Bersepadu

Azman memberitahu, KPDNHEP sentiasa bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi mengekang kegiatan jenayah ini secara berterusan.

Tambahnya, tidak dinafikan penyeludup ini mahir tentang laluan dan tempat selamat untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

"Mungkin tempat yang pihak berkuasa akan masuk, ada tonto di situ dan sebagainya. Ada di sesetengah tempat menggunakan tonto yang diupah untuk kesan pergerakan pihak berkuasa.

"Selalunya bila pasukan operasi tiba di lokasi, orang yang dikesan telah melarikan diri dan hanya tinggal barang. Kita percaya tonto ini bersekongkol dengan dibayar sejumlah wang,” katanya.

Beliau menambah, penyeludupan ke negara luar ini juga bukan hanya melibatkan barangan seperti minyak masak, namun ada juga barangan lain seperti gula, tepung gandum, minyak petrol serta tong gas petroleum cecair (LPG), namun jumlahnya agak terhad berbanding minyak masak serta diesel.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar (kanan) memeriksa sebahagian daripada 460 kilogram minyak masak botol yang dirampas di Ayer Keroh baru-baru ini.

Tegas Azman, pihak penguat kuasa perlu sentiasa bersiap siaga selain terus bekerjasama dengan agensi lain barulah KPDNHEP mampu mengambil tindakan dengan lebih baik dan membanteras dengan lebih berkesan.

"Selain itu, kita juga akan ambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 sebagai bentuk hukuman dan kaedah agar mereka tidak terjebak dengan aktiviti menyalahi undang-undang.

"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi,” katanya.

Kata Azman, berdasarkan statistik AMLATFPUAA 2001 sejak 2018 hingga Jun lalu, sebanyak 19 kes telah dihasilkan melibatkan pembekuan harta alih dalam industri kewangan berjumlah RM8.97 juta.

"Bagi pelucuthakan pula melibatkan jumlah bernilai RM1.15 juta,” katanya.

Statistik kes penyelewengan minyak masak bersubsidi

Tahun 2021

• Bilangan kes: 188 kes

• Jumlah tangkapan: 27 orang

• Nilai rampasan: RM1.2 juta

Tahun 2022 (Jan-Julai)

• Bilangan kes: 75 kes

• Jumlah tangkapan: 11 orang

• Nilai rampasan: RM327,033

*Saluran maklumat• WhatsApp 019-279 4317/ 019-848 8000

• Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my

• Pusat Panggilan 1-800-886-800

• E-mel: e-aduan@kpdnhep.gov.my

• Ez ADU KPDNHEP