SHAH ALAM - Pengamal media akan dibawa melawat tapak pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak hari ini.
Dalam satu surat jemputan dikeluarkan Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan, lawatan pada jam 10.30 pagi itu akan dimulakan dengan berkumpul di parkir KD Duyong, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.
Selepas pendaftaran, semua petugas media akan bergerak ke BNS dengan menaiki bas.
Wakil media juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan pembudayaan norma baharu Covid-19.
Sebelum ini Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan laporan yang menyatakan kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima LCS kepada BNS yang dilaksanakan secara runding terus namun tiada kapal diterima setakat ini.
Dalam laporan tersebut, Bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar mengakui kecewa apabila segala teguran dan pendiriannya mengenai tatacara perolehan projek pembinaan LCS TLDM kepada pimpinan tertinggi negara tidak diendahkan.
Isu itu kini menjadi perbalahan pemimpin politik kerajaan dan pembangkang yang mendesak siasatan secara terperinci selain segera mendakwa individu yang terlibat dengan skandal berkenaan.
Pada Khamis, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan PAC telah melakukan lawatan ke tempat pembinaan LCS di Lumut Shipyard, Pangkalan TLDM, Perak pada 12 Disember 2021.