GEORGETOWN - Semua umat Muslim ditegah mempergunakan, mempermainkan agama Islam atau mempersendakan agama demi mencari populariti di media sosial.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, melakukan perbuatan yang berlawanan hukum Islam dengan sengaja boleh diklasifikasikan sebagai mempermain-mainkan atau mempersendakan agama.
Menurutnya, mereka yang pernah berbuat demikian, harus bertaubat kerana perbuatan itu akan menerima seksaan yang amat dahsyat di akhirat kelak.
"Agama bukan bahan mainan atau sendaan. Seseorang Muslim dituntut menghormati dan mengagungkan agamanya. Melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum Islam dengan sengaja bererti mempermain-mainkan atau mempersendakan agama.
"Dengan tindakan sedemikian, si pelaku boleh dikategorikan menjadi kafir. Jika tidak bertaubat, dia akan dihumban ke neraka dan akan menerima seksaan yang dahsyat di akhirat kelak. Banyak lagi cara untuk mencari populariti, namun bukan dengan menjadikan agama sebagai bahan mainan atau sendaan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sebelum ini, tular sebuah video di media sosial pada Khamis mengenai seorang individu dipercayai wanita dari Malaysia yang menunaikan umrah dengan memakai ihram lelaki.
Video berdurasi 17 saat yang dikongsikan di bebenang Twitter pemilik akaun, @Aliyameha itu menunjukkan individu terbabit sedang merakam dirinya di hadapan Kaabah.
Tambah Wan Salim, individu yang mempersendakan agama Islam terutamanya dibuat secara terang-terangan di media sosial dilihat sebagai tidak cerdik.
"Banyak lagi perkara yang boleh dibuat 'content' di dalam media sosial, dan bukan mempermainkan agama sendiri. Sesiapa melakukan tindakan sedemikian, sesungguhnya dia telah kufur (jatuh kafir) kerana dia dikira memandang ringan kepada agamanya.
"Keimanan menuntut seseorang mengagungkan serta menghormati ALLAH, Rasul-Nya dan agama-Nya, sedangkan golongan ini meringan-ringankan kesemua ini.
"Perbuatan mempersenda dan mempermainkan agama adalah sifat orang munafik yang mana, ALLAH telah berjanji di dalam Al-Quran, golongan ini akan diseksa di neraka yang ngeri di akhirat kelak," katanya.
Wan Salim berkata, golongan suka mempersendakan dan mempermainkan Islam telah wujud sejak zaman Nabi Muhammad lagi.
"Sebenarnya mereka ini hanya memudaratkan diri sendiri sedangkan Islam sedikit pun tidak terjejas oleh tindakan yang tidak cerdik ini. ALLAH SWT tidak dimudaratkan oleh kemaksiatan sesiapa dan tidak mendapat manfaat daripada ketaatan sesiapa.
"Agama Allah tetap berkembang pesat dari semasa ke semasa yang mana, semakin ramai manusia menganutnya terutama dalam kalangan para ilmuwan dan cerdik pandai dalam pelbagai bidang ilmu dan kerjaya.
"Golongan yang suka mempermainkan agama ini eloklah bertaubat daripada perbuatan sia-sia ini sementara ALLAH SWT masih memberi peluang untuk mereka kembali ke jalan yang benar," katanya.
Susulan daripada tindakan wanita tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadapnya selepas dia pulang daripada menunaikan umrah nanti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri bagi memohon supaya siasatan lanjut dilakukan sebaik individu terbabit tiba di Malaysia.