KELANTAN FC mengesahkan pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung insiden provokasi penyokong yang berlaku semasa aksi Liga Premier antara pasukan itu dengan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Isnin.
Pemangku Pengurus Operasi, Mohd Afiq Ab Manaf berkata, laporan tersebut bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi berhubung insiden berkenaan.
"Pihak Kelantan FC sama sekali tidak berkompromi dengan provokasi yang dicetuskan oleh sekumpulan penyokong di kawasan stadium," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, Kelantan FC sentiasa menjaga ketenteraman semua penonton yang hadir ke stadium.
Beliau berkata, Kelantan FC berharap supaya kejadian seperti itu tidak berulang.
Menerusi laporan itu, Kelantan FC turut melampirkan kronologi insiden yang membawa kepada tercetusnya provokasi penyokong pada hari tersebut.
Pendedahan itu menunjukkan wujudnya kelompok penyokong digelar 'Casual Perak' yang didakwa memulakan provokasi tersebut.
Sinar Online pada 10 Ogos lalu melaporkan, tindakan segelintir penyokong lawan yang membuat provokasi terhadap penyokong tuan rumah, Kelantan FC dipercayai menjadi punca berlakunya kekecohan pada perlawanan tersebut.
Difahamkan provokasi itu berlaku ketika perlawanan antara kedua-dua pasukan itu menuju minit-minit akhir permainan.
Tindakan tersebut mengundang kepada insiden berbalas-balas balingan objek antara kedua-dua penyokong.