MENGHITUNG hari persaraan legenda tenis, Serena Williams bakal berdepan ujian besar seawal pusingan pertama
apabila akan bertemu dengan penyandang juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu pada jelajah perpisahan di Cincinnati minggu depan.
Juara 23 kali Grand Slam itu menyatakan bahawa 'kiraan detik sudah bermula' untuk persaraannya dengan pemain berusia 40 tahun itu dijangka mengucapkan selamat tinggal selepas kempen utama di Terbuka AS bermula akhir bulan ini.
Atlet AS itu memenangi perlawanan perseorangan pertamanya dalam tempoh setahun setelah menewaskan pemain Sepanyol, Nuria Parrizas Diaz pada pusingan pertama di Toronto minggu lalu.
Kemenangan Serena itu diraih sebelum dia mendedahkan dalam artikel Vogue dan Instagram bahawa akan 'pergi jauh' daripada tenis.
Dalam perlawanan pertamanya selepas pengumuman itu, Serena kalah straight set kepada pemenang pingat emas
Olimpik Tokyo dari Switzerland Belinda Bencic di pusingan kedua.
Sekiranya Serena berjaya mengatasi Emma, dia akan berdepan satu lagi laluan sukar di Cincinnati di mana dia muncul juara sebanyak dua kali.
Pemenang antara Serena-Emma akan berdepan sama ada pemain di ranking 20, Victoria Azarenka atau pemain di
ranking ke-31 Kaia Kanepi dari Estonia.
Serena menang Grand Slam terakhir pada 2017 dan sejak itu memburu gelaran ke-24 yang bakal menjadikannya
sebaris dengan legenda Margaret Court selaku pemenang terbanyak kejohanan utama.