Kedah mula tanam padi lima kali dua tahun: Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi (kanan) turut meninjau ruang pameran MADA yang mengambil bahagian pada MAHA. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) 2022.

ALOR SETAR - Kedah akan memulakan tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun pada musim penanaman November-Disember ini melibatkan keluasan sebanyak 1,240 hektar sawah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek perintis ini diyakini mampu mencapai sasaran dengan penggunaan jentera moden dan 'artificial intelligent' dalam proses penanaman dan penuaian padi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek berkenaan akan dibangunkan dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan lokasinya telah pun dikenal pasti.

"Hasil kunjungan saya ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, begitu banyak teknologi dan pembaharuan dalam teknologi pertanian, khususnya pemodenan sistem dan teknik pertanian yang dipamerkan.

Iklan

"Saya yakin ia dapat membantu negara melangkah ke hadapan, khususnya dalam jaminan keselamatan makanan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi berkata, aplikasi teknologi dan Teknologi Peranti Internet untuk Segalanya (IoT) akan menarik penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian selain membantu petani sedia ada meningkatkan hasil khususnya dalam sektor padi dan ternakan.

Iklan

"Kedah dan jelapang padi di Krian (Perak), Kuala Selangor dan Perlis tentunya akan lebih maju dengan penggunaan jentera moden dan 'artificial intelligent'.

"Ini akan membantu hasrat Kedah yang mahu menjadikan penanaman lima kali dalam dua tahun menjadi kenyataan," katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan dan pengusaha sektor pertanian perlu mengambil peluang melonjakkan sektor pertanian sebagai industri yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan kepada petani, pengusaha dan kerajaan.

"Kolaborasi antara sektor kerajaan dan swasta dalam sektor pertanian akan mempercepatkan industri ini berkembang selari dengan keperluan semasa negara," tegasnya.

Menurutnya, Kedah sentiasa komited untuk memastikan negeri ini kekal sebagai jelapang makanan negara dengan pengekalan guna tanah pertanian selain penggunaan aplikasi teknologi terkini dalam sektor berkenaan.

"Jaminan keselamatan makanan akan dapat dicapai dengan penglibatan semua agensi dan pemain industri pertanian," ujarnya.

Muhammad Sanusi (dua, kanan) melawat ruang pameran berkaitan teknologi pertanian ketika mengunjungi MAHA 2022. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)

Muhammad Sanusi percaya inovasi MAHA yang antara lain memperkenalkan pertanian sebagai 'Agro Lifestyle' akan mengubah persepsi lebih positif, khususnya dalam mempromosikan pertanian bandar yang dikongsikan oleh beberapa agensi dan kilang tanaman makanan yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"MADA diberi kepercayaan mengetuai kluster Agro Lifestyle dan ia merupakan pendekatan yang sangat bagus," katanya.

Menurutnya lagi, pelbagai inovasi dapat dipelajari di MAHA, termasuk sektor perikanan yang mempamerkan pelbagai pembaharuan antaranya aspek pengawalan tangkapan ikan, kerang serta teknologi tangkapan tuna di laut dalam.

"Antara yang menarik, pengenalan teknik menentukan saiz kerang yang boleh ditangkap dan teknologi penghasilan benih ikan berdasarkan kajian dan pembangunan (RnD)," katanya lagi.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah tidak ketinggalan mempamerkan pelbagai produk makanan oleh agensi dan individu yang menyertai ruang pameran di Pavilion Kedah.

"Sambutan kali ini sangat meriah. Antara produk keluaran Kedah yang dipamerkan, cendawan yang dihasilkan 48 tan sehari.

"Jualan makanan istimewa seperti gulai rias pisang dan bihun sup utara serta produk makanan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang menjadi ikonik negeri ini turut mendapat sambutan," katanya lagi.