KUALA LUMPUR - Sebanyak 300,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk golongan belia dijangka dapat diwujudkan pada 2025 yang merentasi sektor berimpak tinggi seperti elektronik dan elektrikal (E&E), automotif, kimia dan bahan termaju serta sains hayat dan teknologi perubatan.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pada tahun ini pula dijangkakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan yang sama dapat diadakan melalui program Academy in Factory (AiF).
"Bagi memastikan pelabur asing terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, maka kita bertanggungjawab untuk menyediakan bakat-bakat yang berkemahiran tinggi dan berteknologi.
"Ini selari dengan penekanan supaya tenaga kerja negara ini meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula, selari dengan Revolusi Industri ke-4 yang dijangka akan meningkatkan produktiviti sebanyak 30 peratus di dalam semua sektor menjelang 2030,” katanya ketika Pelancaran Karnival Belia Produktif di sini hari ini.
Program AiF yang dilancarkan pada majlis sama merupakan inisiatif Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi menangani cabaran kekurangan pekerja dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam kalangan belia tempatan.
Mohamed Azmin berkata, Malaysia sedang bergerak ke arah negara maju yang produktif, sehubungan itu tenaga kerja tempatan harus bersedia dengan kemahiran tinggi yang bersesuaian terhadap permintaan industri.
"Peluang pekerjaan baharu berkemahiran tinggi yang diwujudkan adalah untuk semua golongan belia termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar, kampung dan anak-anak Orang Asal, yang akan melatih mereka mendapatkan kemahiran tinggi,” katanya.
Beliau berkata, demi meningkatkan daya saing jangka panjang, negara perlu membangunkan modal insan yang mahir, produktif, kreatif dan inovatif.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, pihaknya komited dalam menerajui program peningkatan produktiviti dan daya saing berasaskan pemacu utama pertumbuhan produktiviti.
"Apabila kemahiran meningkat, produktiviti turut meningkat dan boleh membawa kepada keuntungan. Justeru, gaji dapat dinaikkan sejajar dengan peningkatan produktiviti dan keuntungan.
"Dalam jangka masa panjang, ini akan menyumbang kepada pencapaian sasaran 40 peratus pampasan pekerja, seperti yang ditetapkan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.
Abdul Latif berkata, prestasi produktiviti negara telah kembali kepada pertumbuhan positif pada kadar 1.8 peratus pada 2021 dan produktiviti buruh bagi setiap pekerja meningkat 2.7 peratus dengan nilai ditambah RM23,129.
Butiran lanjut mengenai program AiF boleh didapati menerusi http://aif.mpc.gov.my. - Bernama