KOTA BHARU - Kaedah penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran mungkin diteliti semula jika aktiviti itu terus berlaku, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, penguatkuasaan bagi tujuan itu sedang giat dilaksanakan dari semasa ke semasa dan pihaknya akan menilai keberkesanannya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga berkata, perbezaan harga minyak masak yang tinggi di negara jiran mendorong kepada penyeludupan dan menjadi antara punca masih berlaku ketirisan bekalan barangan kawalan tersebut.
"Apabila perbezaan harga di negara jiran terlalu jauh (tinggi) dengan harga subsidi di negara ini, ia akan mendorong keinginan untuk menyeludup apabila setiap kampit minyak mereka mampu memperoleh keuntungan antara RM4 hingga RM5,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Kelantan Abd Mubin Mohd Zain.
Media sebelum ini melaporkan bekalan minyak masak bersubsidi satu kilogram Malaysia dikatakan tidak pernah putus di Golok, Thailand serta senang didapati terutama di pasar negara itu dan dijual pada harga RM6.80 hingga RM7 sepaket berbanding RM2.50 di pasaran Malaysia.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, antara inisiatif lain pihaknya bagi mengatasi ketirisan bekalan minyak bersubsidi ialah melakukan proses audit forensik membabitkan kilang yang diberikan lesen memproses bahan mentah itu.
"Kita sedang melakukan proses audit forensik ke atas kilang berlesen yang dibenarkan untuk membuat minyak berpaket ini. Sekarang agak longgar....kita musykil dari segi kaedah ia diedar.
"Jawatankuasa (pasukan khas jihad) juga tidak teragak-agak untuk mengubah sistem sekiranya mereka tidak memberi kerjasama. Kalau kita dapat kenal pasti kelemahan dalam rantaian bekalan, kita tidak teragak-agak untuk menukarnya," katanya.
Beliau berkata, setakat ini bekalan di pasaran adalah mencukupi manakala harga minyak masak tidak bersubsidi juga dilihat semakin turun dari semasa ke semasa dan berharap ia dapat meringankan beban masyarakat. - Bernama