SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak akan mengkhianati dan membelakangi perjuangan parti itu.
Katanya, UMNO akan terus dipertahankan walau terpaksa berhadapan pelbagai cabaran demi agama, bangsa, negara dan maruah parti.
"Pada 30 Jun 2018 saya telah diminta oleh ahli UMNO untuk menerajui kepimpinan parti. Saya dipilih menjadi Presiden UMNO ketika parti terbesar orang Melayu ini dalam keadaan paling lemah.
"Dalam keadaan sebilangan pemimpinnya lari meninggalkan UMNO untuk mengejar kedudukan, saya diamanahkan untuk menerajui semasa parti ini sedang ditekan dan diugut supaya dibubarkan.
"Syukur Alhamdulillah selepas empat tahun berlalu UMNO kini di landasan yang tepat untuk bangkit. Berkat kesabaran, kesungguhan dan kerjasama seluruh pendokongnya yang terus meyakini perjuangan UMNO," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Sabtu.
Ahmad Zahid berkata, amanah yang diberikan oleh ahli terhadapnya untuk menerajui UMNO akan terus digalas dan dijulang sehabis baik.
"UMNO adalah semangat dan jati diri kita. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) misi kita. Rakyat dan negara adalah perjuangan kita.
"Kebenaran mesti diperlihatkan, kebatilan mesti dilawan, fitnah dan pembohongan perlu dileraikan.
"Selangkah demi selangkah sederap kita bersama mara ke hadapan mencatat kejayaan demi kejayaan," katanya.