Mayat dipercayai mangsa tragedi bot karam ditemukan

Iklan
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Muhammad Suffi)

KUALA TERENGGANU - Satu lagi mayat dipercayai seorang daripada dua mangsa yang masih hilang dalam tragedi bot nelayan karam di perairan Pulau Redang Isnin lepas, ditemukan hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata pihaknya menjumpai mayat yang belum dikenal pasti identiti itu pada kedudukan 9.4 batu nautika utara Pulau Redang pada 12.30 tengah hari tadi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pada 11 pagi, Maritim Malaysia menerima laporan daripada nelayan tempatan yang menemukan objek terapung.

"Aset maritim Kapal Maritim Bagahak yang sedang beroperasi diaturgerakkan ke lokasi aduan tersebut. Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sebelum proses pengecaman dan bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Muhammad Suffi dalam kenyataan semalam memaklumkan operasi mencari dan menyelamat dua lagi nelayan tempatan yang hilang iaitu Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, dan Ahmad Zamri Ishak, 66, ditamatkan pada 7 malam susulan tiada lagi petunjuk baharu diperoleh.

Dalam kejadian pada 10 malam Isnin itu, bot nelayan dinaiki enam lelaki karam setelah dilanda ribut di kedudukan lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang.

Iklan

Seorang mangsa Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, terselamat, manakala tiga lagi mangsa iaitu Saludin Ismail, 50, Ahmad Nazri Ishak, 48, dan Zulkifli Umar, 48, ditemukan lemas di lokasi berbeza kira-kira 1.7 hingga 1.9 batu nautika dari Pulau Redang pada Rabu lepas. - Bernama