BARISAN kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berdepan cabaran besar untuk memantapkan pasukan dengan perlu mengenal pasti pemain berstatus kedua serta ketiga dalam acara perseorangan lelaki dan wanita dalam tempoh enam bulan.
Kem badminton negara ketika ini hanya mempunyai Ng Tze Yong selaku pemain terbaik bagi acara perseorangan lelaki, manakala S Kisona mendahului senarai bagi perseorangan wanita.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Pengarah Kejurulatihan (perseorangan) BAM, Wong Choong Hann dan jurulatih, Hendrawan diberi tanggungjawab untuk menyempurnakannya
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia masih belum mencukupi dan menggesa barisan kejurulatihan segera mengisi posisi kedua dan ketiga dalam kedua-dua acara tersebut.
"Pasukan perseorangan lelaki BAM ketika ini ada Tze Yong sebagai pemain nombor satu. Jadi saya harap Choong Hann dan Hendrawan dapat hasilkan pemain kedua serta ketiga. Mereka akan diberikan tempoh enam bulan.
"Semua orang kata kita ada Lee Zii Jia, Tze Yong, Liew Daren dan Cheam June Wei, tetapi dari perspektif BAM, kita mahu Choong Hann hasilkan pemain nombor dua dan nombor ketiga untuk berada di kelompok teratas," katanya selepas mesyuarat Ahli Lembaga BAM di Bukit Kiara pada Sabtu.
Selain itu, Norza berkata, BAM juga berharap untuk melihat perkara sama diterapkan dalam skuad perseorangan wanita kerana hanya Kisona boleh dikatakan mampu bersaing dengan pemain kelompok teratas.
"Perseorangan wanita juga berdepan tugas sama untuk menaikkan kedudukan masing-masing dan ia terpulang kepada barisan kejurulatihan.
"Dr Tim Jones (Pengarah Prestasi Tinggi BAM) akan buat penilaian berhubung perkara ini berdasarkan sistem yang sudah dikemukakan (dalam mesyuarat Ahli Lembaga BAM) dan kita luluskan," katanya.