Kes buli MRSM: KPLB serah siasatan kepada polis

Iklan
Mahdzir ketika sidang akhbar selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 pada Sabtu.

SERDANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis berhubung kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan salah laku buli selain akan meneliti laporan lengkap siasatan tersebut.

Iklan
Iklan

"Apabila sudah buat laporan polis, kita tak mahu komen apa-apa lagi, biarlah polis siasat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 di sini pada Sabtu.

Iklan

Jelas Mahdzir, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat jika hasil siasatan mendapati berlaku salah laku berkenaan.

"Amalan buli di mana-mana institusi pendidikan adalah satu perkara serius dan pelajar yang terlibat serta didapati bersalah akan diambil tindakan termasuklah dibuang sekolah.

Iklan

"Misalnya insiden di MRSM Kepala Batas, pelajar buli pelajar lain apabila lembaga disiplin dapat sahkan, memang pelajar itu dibuang sekolah,” katanya.

Pada Jumaat, tular satu hantaran di media sosial mengenai pendedahan dibuat ibu mangsa buli yang mendakwa pihak pengurusan MRSM Kuantan tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kes buli membabitkan anaknya.

Ibu mangsa mendakwa baju sekolah anaknya diconteng dan rambut digunting ketika tidur, selain mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di MRSM berkenaan.