GOL tunggal Kpah Sherman sudah cukup memberikan Terengganu FC (TFC) tiga mata penuh apabila menang tipis 1-0 ke atas Sarawak United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebentar tadi.
Sedar kemenangan amat penting untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga, pengendali TFC, Nafuzi Zain membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utamanya.
Beliau menyenaraikan penjaga gol, Suhaimi Husin, pemain tengah, Azalinullah Mohamed Alias dan Hakimi Abdullah serta pertahanan, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Azarul Nazarith Azhar.
Percaturan Nafuzi tampak membuahkan hasil apabila TFC bermula garang dengan percubaan awal menerusi Manuel Ott pada minit ke-11.
Namun, ketika TFC kerap mengasak kubu lawan, Gonzalo Soto hampir memecah kebuntuan gol buat Sarawak United pada minit ke-30, namun tandukannya sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol.
Bersambung babak kedua, TFC memasukkan pemain sayap lincah, Faisal Halim dan mengeluarkan Hakimi Abdullah bagi menambah sengat di barisan serangan.
Bagaimanapun, skuad Peteh itu masih buntu memecah kebuntuan gol walaupun mendapat peluang terbaik pada minit ke-58 menerusi rembatan Ott.
Usaha berterusan TFC akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran lintang Faisal di sebelah kanan pintu gol Sarawak United disudahkan Sherman pada minit ke-71.
Jaringan tunggal itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus memastikan TFC pulang dengan tiga mata berharga.