Gustavo julang Negeri Sembilan

Iklan
Gustavo (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya, Matheus Alves di Stadium MBPJ sebentar tadi. FOTO: BERNAMA

NEGERI Sembilan FC terus menghimpit dua pasukan teratas Liga Super apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian K Devan kekal berada di tangga ketiga liga dengan merekodkan 32 mata - di belakang Johor Darul Ta'zim (38 mata) dan Sabah FC (34 mata).

Iklan
Iklan

Penyerang import dari Brazil, Gustavo dos Santos terus mempamerkan sentuhan berbisanya apabila meledak kedua-dua gol pasukan pelawat.

Gol pertama Negeri Sembilan berpunca hasil kesilapan kapten PJ City, Mohammad Raffi Nagoorgani yang menolak bola ke belakang sebelum berjaya dirampas Gustavo seawal minit ke-11.

Iklan

PJ City cuba bangkit dan berpeluang menyamakan kedudukan, namun Darren Lok gagal membaca hantaran rakan sepasukannya pada minit ke-21 biarpun gawang Negeri Sembilan sudah terbuka luas.

Memasuki babak kedua, Negeri Sembilan terus mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua, juga hasil jaringan Gustavo pada minit ke-62.

Iklan

Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat untuk memberikan keceriaan buat skuad Hobin Jang Hobin, sementara PJ City pula terus terperosok di dasar liga dengan kekalahan ketujuh.