MANCHESTER United meneruskan persembahan hambar saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila melakar kekalahan kedua berturut-turut selepas diaibkan Brentford, 4-0 di Stadium Komuniti Gtech pada Ahad.
Empat gol pada babak pertama Josh Dasilva (10'), Mathias Jensen (18'), Ben Mee (30'), dan Bryan Mbeumo (35') sudah cukup menghadiahkan kekalahan kedua pengendali, Erik ten Hag selepas dikejutkan Brighton 1-2 di Old Trafford pada 7 Ogos lalu.
Ten Hag membuat tiga pertukaran pada separuh masa dengan memasukan Raphael Varane, Tyrell Malacia dan Scott McTominay, namun kebangkitan The Red Devils gagal menyaingi keampuhan benteng pasukan tuan rumah kendalian Thomas Frank.
Untuk rekod, ini merupakan kali pertama Manchester United dibolosi sekurang-kurangnya enam gol dalam dua perlawanan pertama di liga utama sejak 1960 dan kali pertama tewas dalam dua perlawanan pembukaan sejak 1992 ketika kelab menjulang kejuaraan liga.
"Ia adalah hari yang mengerikan...
"Sekiranya saya dapat menyelamatkan gol pertama mungkin pengakhirannya berbeza.
"Kami perlu bertindak balas dengan lebih baik selepas ini. Ia adalah persembahan yang buruk," kata penjaga gol Manchester United, David De Gea.
Manchester United bakal melayan kunjungan Liverpool dalam perlawanan liga di Stadium Old Trafford pada 23 Ogos ini.