Kelantan FC belum di zon selamat

Iklan
Pemain Kelantan, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman (depan, kanan) diasak pemain PDRM, Mohd Amier Mohd Ali dalam aksi perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Sabtu. - Foto Bernama

KELANTAN FC belum berada dalam zon selamat untuk menjuarai saingan Liga Premier musim ini walaupun menghuni tangga teratas liga dengan mengumpul 35 mata selepas mengharungi 15 perlawanan.

Ketua jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya berkata, sebarang kemungkinan boleh terjadi sekiranya tewas dalam tiga lagi baki perlawanan.

Iklan
Iklan

"Walaupun mendahului lima mata dengan pasukan di kedudukan kedua iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT II), namun pasukan itu mempunyai kelebihan kurang satu perlawanan, jika kami tewas mereka boleh mengatasi kami," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang PDRM di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.

Pada perlawanan itu, Kelantan FC menewaskan PDRM FC 2-1 menerusi gol Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-68 dan Mohammad Ikhwan Yazek pada minit ke-77, manakala gol sagu hati pasukan pelawat dijaringkan Derrkeswaran Ganasan pada minit ke-30.

Iklan

Mengulas lanjut, Rezal berkata. beiau tidak mahu para pemain berada dalam keadaan selesa kerana selepas ini pasukannya akan menghadapi tiga perlawanan lebih mencabar dengan bertemu Terengganu II, Selangor 2 dan Kelantan United.

"Pemain perlu kekal fokus untuk mengutip sembilan mata penting supaya tidak bergantung harap kepada pasukan lain di penghujung saingan liga untuk bergelar juara," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, kekalahan pasukannya disebabkan permainan kurang matang para pemain berdepan situasi genting menerima asakan lawan.

"Situasi tidak bahaya jadi bahaya itu adalah keputusan yang dibuat oleh pemain ketika berada di atas padang kadangkala menyusahkan diri sendiri sehingga dihukum pihak lawan yang tidak sepatutnya melepaskan dua gol mudah," katanya. - Bernama

Iklan