Dua nelayan hilang ditemui selamat

Iklan
Dua nelayan yang hilang sebelum ini selepas bot dinaiki rosak ditemui selamat berhampiran barat Pulau Selat Kering pada petang Sabtu.

KLANG - Dua nelayan yang hilang setelah bot dinaiki rosak ditemui selamat berhampiran barat Pulau Selat Kering pada petang Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten V.Siva Kumar berkata, bot yang dinaiki kedua lelaki tempatan itu dijumpai oleh nelayan tempatan pada kedudukan 8.6 batu nautika barat Pulau Selat Kering kira-kira jam 1 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Maritim Malaysia sebelum ini menerima aduan daripada seorang pemilik bot yang memaklumkan bot miliknya tidak pulang ke pangkalan sejak Khamis.

"Bot milik individu berkenaan dipercayai mengalami kerosakan enjin ketika belayar keluar.

Iklan

"Salah seorang daripada mangsa pulang ke jeti dengan menaiki bot yang lain untuk ambil alatan baiki bot dan menuju semula ke bot yang rosak sebelum mereka gagal dikesan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya diaktifkan bagi menjalankan usaha menyelamat kedua nelayan berkenaan.

Iklan

"Kedua-dua nelayan berumur 37 dan 45 tahun itu bagaimanapun berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh nelayan tempatan.

"Nelayan dan bot yang dinaiki ditunda ke jeti Pulau Ketam oleh sebuah bot nelayan lain untuk pembaikan dengan diiring bot PERKASA 35," katanya.