GEORGETOWN - Mayat lelaki berseluar pendek dan memakai singlet putih ditemukan terapung di di perairan Padang Kota Lama di sini, pada petang Sabtu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat terbabit sekitar jam 2.05 petang daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999.
Menurutnya, bot ronda Perkasa 1220 telah diatur gerak ke lokasi dan menemui mayat tersebut di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Padang Kota Lama.
"Mayat lelaki berseluar pendek dan berbaju singlet putih, namun tiada sebarang identifikasi diri ditemui.
"Mayat lelaki terbabit kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang oleh pihak polisb untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Abd Razak berkata, setakat ini Maritim Malaysia Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut dan memohon mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau saudara segera tampil membuat aduan di balai polis yang berdekatan.
Beliau mengingatkan komuniti maritim agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan jika keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca kurang baik di laut pada masa ini.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim dan sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999.