KUCHING - [DIKEMAS KINI] Parti Sarawak Bersatu (PSB) hilang satu kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How mengumumkan menjadi wakil Bebas, kata Speaker, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.
Mohamad Asfia berkata, Chee How telah menghantar sepucuk surat kepadanya pada Jumaat lepas (12 Ogos), yang memaklumkan beliau telah meletakkan jawatan sebagai ahli PSB berkuat kuasa serta-merta tanpa menyatakan sebarang alasan.
Menurut beliau, keputusan Chee How itu menjadikan PSB kini tinggal tiga kerusi, manakala DAP kekal dua, Gabungan Parti Sarawak (76 kerusi) dan Bebas (satu kerusi).
"Dia tak melompat (parti) dari PSB ke parti lain tetapi dia hanya meletak jawatan (dalam PSB dan bergerak) sebagai (wakil) Bebas,” katanya ketika sidang akhbar di bangunan DUN pada Ahad.
Mohamad Asfia berkata, menerusi surat itu, ADUN Batu Lintang berkenaan memaklumkan beliau akan kekal berkhidmat untuk penduduk kawasannya dan semua rakyat Sarawak meskipun bergerak sebagai wakil rakyat Bebas.
Menyifatkan wakil rakyat itu sebagai disenangi, bijaksana dan cekap, Mohamad Asfia yakin Chee How yang merupakan ahli Jawatankuasa Perundingan dalam menasihati Dewan berhubung Perjanjian Malaysia 1963, dapat terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ADUN dengan baik.
Dalam pada itu, Mohamad Asfia berkata, persidangan ketiga DUN negeri itu dijangka berlangsung pada November ini.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak lepas, Chee How mempertahankan kerusi N11 Batu Lintang selepas memperoleh 4,420 undi menewaskan calon GPS, Sih Hua Tong yang memperoleh 4,327 undi, Cherishe Ng (PKR) 1,823 undi, Voon Lee Shan Parti Bumi Kenyalang (PBK) 1,570 undi dan Alex Leong Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 187 undi.
Sementara itu, Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soo Koh berkata, Chee How sepatutnya meletakkan jawatan sebagai ADUN selepas meninggalkan parti tersebut.
Soo Koh berkata, berdasarkan perjanjian secara lisan dan bertulis yang dibuat oleh Chee How sebelum dipilih sebagai calon parti itu pada pilihan raya negeri sebelum ini, Chee How juga harus membayar ganti rugi kepada parti berkenaan jika beliau memilih untuk keluar parti selepas memenangi kerusi itu sebagai calon PSB.
"PSB sangat kesal dengan tindakan YB (Yang Berhormat) Chee How meletakkan jawatan sebagai ahli selepas beliau memenangi kerusinya Batu Lintang dalam Pilihan Raya Sarawak lepas sebagai wakil PSB.
"YB Chee How juga menyedari komitmennya, secara lisan dan bertulis, kepada PSB sebelum beliau dipilih menjadi calon PSB bagi kawasan DUN Batu Lintang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Justeru, Soo Koh menambah PSB akan mengambil semua tindakan dan langkah penyelesaian yang perlu. - Bernama