Lembah Kinta terima akuan Geopark Kebangsaan kali kedua

Iklan
Nolee Ashilin (kanan) melihat sijil penyertaan yang diterima peserta program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu@Geoguide Geopark Lembah Kinta.

IPOH - Tapak geologi Lembah Kinta berjaya mengekalkan status sebagai Geopark Kebangsaan buat kali kedua.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perakuan semula itu telah diterima pada 20 Jun lepas daripada Jawatankuasa Geopark Kebangsaan bagi sesi 2021-2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengiktirafan itu adalah bukti komitmen tinggi kerajaan negeri bersama agensi lain dalam usaha mengekalkan dan memulihara warisan semulajadi di setiap geotapak di sebalik pembangunan sedia ada.

"Kita akui menghadapi cabaran besar dalam usaha mengekalkan dan memulihara setiap kawasan dalam Geopark Lembah Kinta ini kerana di dalamnya, kita punya satu bandar raya yang besar.

Iklan

"Dengan adanya bandar raya sudah tentulah aspek pembangunan dan ekonomi itu wujud, jadi untuk mencari keseimbangan antara keduanya itu amatlah memerlukan usaha keras dan kerjasama semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu@Geoguide Geopark Lembah Kinta di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Nizarul Ikram Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Penasihat Pakar Geopark Lembah Kinta, Prof Emeritus Dr Mohd Shafeea Leman.

Seramai 30 peserta kalangan anak Perak mengikuti program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu@Geoguide Geopark Lembah Kinta.

Lembah Kinta telah dimasyurkan sebagai tapak geologi Geopark Kebangsaan kali pertama pada 2018 lalu oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Geopark Lembah Kinta meliputi keseluruhan daerah Kinta, Kampar dan Batu Gajah dengan keluasan dianggarkan 1,952 kilometer persegi.

Nolee Ashilin berkata, satu pelan pengurusan yang menyeluruh akan disediakan bagi memastikan potensi pembangunan geopark dapat dikekalkan.

Katanya, dalam usaha itu, Perbadanan Taman Negeri sedang dalam proses menghasilkan pelan pemuliharaan dan pengurusan bagi memastikan Geopark Lembah Kinta dapat dikekalkan tanpa mengekang aktiviti ekonomi dilakukan.

"Ini bermaksud pembangunan perlu dirancang bersekali dengan usaha untuk memastikan geotapak-geotapak yang telah kita iktiraf dan akan diiktiraf kemudian itu, dipelihara dan dipulihara," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini belum ada lesen khas yang dikeluarkan kerajaan negeri bagi perkhidmatan jurupandu.

Bagaimanapun pihaknya, sedia meneliti perkara tersebut melalui Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

"Kita bercadang untuk mendaftarkan jurupandu sedia ada sebagai jurupandu terlatih di bawah Perbadanan Taman Negeri.

"Itu sebagai permulaan kerana untuk mengeluarkan lesen, kita belum ada lagi kuasa untuk itu," katanya.