ALOR SETAR - Beberapa aspek dalam industri penanaman padi perlu dinaik taraf terlebih dahulu sebelum Kedah melaksanakan tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun.
Pemangku Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Rashid Yob berkata, ia boleh dilaksanakan sekiranya monopoli dalam industri padi ditangani dan kebebasan diberikan kepada pesawah untuk memilih benih, input pertanian dan pasaran padi.
Menurutnya, sistem monopoli hanya akan menyekat sasaran untuk mencapai tahap sara diri (SSL) padi sehingga 100 peratus, yang mana tahap SSL dalam negara masih sekitar 70 peratus.
"Kita hanya mampu mengeluarkan permintaan penggunaan sebanyak 70 peratus manakala baki 30 peratus diimport bagi beras.
"Tanaman lima kali dua tahun memang baik untuk jaminan bekalan makanan ruji negara kerana dapat tingkatkan hasil padi, seterusnya tambah pendapatan pesawah namun perkara asas berkaitan tanaman padi perlu diatasi terlebih dahulu," katanya di sini pada Ahad.
Rashid berkata, kesemua agensi-agensi penyelaras seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk kawalan air dan penyenggaraan dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi kajian benih padi perlu diselaraskan.
"Agensi lain termasuk Jabatan Pertanian yang membekalkan benih serta Penubuhan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk bekalan baja atau Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) untuk pasaran padi dan beras perlu bekerja secara selari, bukan terpisah-pisah.
"Ini dapat dilaksanakan melalui penubuhan Lembaga Padi dan Beras yang menggabungkan kesemua agensi berkenaan," katanya.
Menurutnya, hanya dengan pendekatan itu, hasrat Kedah mahu melaksanakan tanaman padi lima kali dalam dua tahun akan dapat dicapai.
"Peranan MARDI tidak kurang pentingnya kerana agensi itu perlu hasilkan varieti padi yang matang dalam masa 85-90 hari dan rintang kepada penyakit serta beri hasil lebih baik kepada petani.
"Perkara asas seperti sistem pengairan, varieti benih padi, edaran baja menepati jadual, tandop dan keupayaan tanah sawah untuk rehat mencukupi, semua itu perlu dinaik taraf," katanya.
Rashid berkata, pihaknya bukan membantah hasrat kerajaan Kedah itu namun perancangan untuk melaksanakan konsep baharu seeloknya dibincangkan bersama dengan persatuan pesawah.
"Tak perlu tergesa-gesa laksana sekiranya hanya selepas kita contohi model dari Vietnam, kerana banyak faktor lain seperti tanah dan cuaca berbeza, seeloknya kerajaan tumpu kepada menyelesaikan isu-isu berbangkit.
"Bagaimana dengan musim kemarau atau musim hujan sekiranya dilakukan lima kali dalam dua tahun, kerana ia di luar kawalan kita," katanya.
Pada Sabtu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan Kedah akan memulakan tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun pada musim penanaman November-Disember ini melibatkan keluasan sebanyak 1,240 hektar sawah.
Menurutnya, projek perintis ini diyakini mampu mencapai sasaran dengan penggunaan jentera moden dan kecerdasan buatan dalam proses penanaman dan penuaian padi.
Sementara, Bendahari Padi Rescue, Muhamad Rafirdaus Abu Bakar berkata, untuk tanaman dua kali setahun pun sudah tidak mengikut jadual penanaman ditetapkan, apatah lagi untuk melaksanakan tanaman lima kali dalam dua tahun.
"Untuk tahun ini fasa satu, benih mula ditabur bermula April dan tuai sekitar Ogos hingga Oktober. Fasa dua bermula seawal Oktober dan dijangka tuai Februari 2023.
"Mana mungkin dapat dilakukan, cerita ini 15 tahun dahulu sudah diuarkan ketika Tan Sri Noh Omar ketika menjawat Menteri Pertanian," katanya.
Menurutnya, kekangan utama adalah punca air selain bekalan benih padi dan baja subsidi yang sehingga kini tidak pernah selesai malah semakin meruncing.
"Peranan MADA harus dipertingkatkan kerana sebagai peneraju industri dilihat gagal dari aspek perbekalan air yang tidak mengikut jadual kelulusan benih padi.
"Saya cadangkan MADA berbincang dengan Jabatan Pertanian dalam isu kelulusan benih, jadual bekalan air tidak selari menyebabkan petani menanggung kerugian disebabkan benih tidak ikut jadual air.
Ini termasuk bekalan baja, sehingga kini baja masih belum selesai dihantar kepada pesawah sedangkan padi sudah dipotong," ujarnya lagi.
Muhamad Rafirdaus berkata, pesawah terpaksa gunakan inisiatif sendiri dan tidak lagi bergantung kepada skim subsidi kerajaan kerana gagal dibekalkan mengikut jadual.
"Namun pesawah sering dipersalahkan, sedangkan masalah sebenar adalah tiada penyelarasan yang berkesan antara agensi terlibat," katanya.
Pengerusi Belatani, Mohd Subri Mohd Said senada dan mengharapkan prasarana perlu dinaik taraf sepenuhnya sebelum melaksanakan konsep baharu.
"Tanaman dua kali setahun pun prasarana masih banyak yang tak terurus. Kalau di atas kertas, tanaman lima kali dua tahun mungkin nampak mudah tapi hakikatnya mampukah pengairan sedia ada menampung keperluan.
"Mampukah kalau taburan hujan kurang, empangan dan sistem pengairan sedia ada dapat tampung keperluan bekalan air," katanya.
Menurutnya, walaupun dengan adanya kecanggihan teknologi dan jentera terkini, namun tanpa sistem pengairan berkesan atau berdepan musim kemarau, tanaman lima kali dua tahun itu sukar dilaksanakan.