KOTA TINGGI - Warga Singapura yang dilaporkan hilang pada Sabtu ketika mendaki Gunung Panti Barat, Batu Ampat di sini ditemui pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa, Neo Thiam Ming, 40 ditemui dalam keadaan selamat setelah berjaya keluar sendiri dari hutan, lebih kurang jam 4.20 petang.
"Mangsa keluar sendiri dari hutan dan datang ke lokasi di mana polis membuka pusat kawalan tempat kejadian iaitu tempat masuk untuk naik ke hutan simpan Panti," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Thiam Ming dilaporkan hilang sejak Sabtu, selepas bertindak menghubungi talian kecemasan 999 pada jam 7.10 petang selepas menyedari dirinya sesat di kawasan hutan tersebut.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Ibrahim Wahid berkata, pihaknya bersama unit khas Multi Skill Team (MUST) dengan kekuatan keseluruhan 14 keanggotaan mencari mangsa selepas menerima panggilan pada jam 7.11 malam, pada Sabtu.
"Usaha pencarian turut dibantu anggota polis, Jabatan Perhutanan Negeri Johor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Mangsa telah turun sendiri dalam keadaan selamat pada kira-kira jam 4.20 petang. Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.