Remaja 14 tahun antara 11 ditahan merempit

Iklan
Ops Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan Polis bersama-sama AADK di Jalan Jelapang, di sini, pada Ahad.

IPOH - Remaja berusia 14 tahun antara 11 individu yang ditahan pihak polis dalam satu Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Jelapang, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner, Yahaya Hassan berkata, operasi melibatkan seramai 89 pegawai dan anggota itu turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam sehingga 4 pagi itu, sebanyak 72 motosikal dan 85 individu diperiksa.

"Hasil pemeriksaan dalam operasi itu, sembilan motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan manakala seramai 11 individu turut ditangkap atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan serta pemalsuan nombor kenderaan di bawah Seksyen 42 (1) dan 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

Iklan

"Sementara itu, dalam operasi sama, 187 keping saman trafik pelbagai kesalahan telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.

Yahaya berkata, dalam pada itu, dua individu pula ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine.

Iklan

Katanya, kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

"Ia merupakan salah satu usaha pihak polis dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya di samping membantu mencegah berlakunya jenayah jalanan di sekitar Banda raya Ipoh," katanya.