Pendaki sesat tiada permit mendaki

Iklan
Warga Singapura yang sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Panti Barat, Batu Ampat Kota Tinggi ditemui selamat pada Ahad.

KOTA TINGGI - Warga Singapura yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Panti Barat, Batu Ampat pada Sabtu, didapati tidak mempunyai permit mendaki.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Datuk Salim Aman berkata, lelaki berusia 40 tahun itu juga mendaki seorang diri tanpa kawalan jurupandu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lelaki terbabit difahamkan memasuki Hutan Simpan Gunung Panti pada petang Sabtu sebelum tersesat dan tidak dapat keluar sehingga ditemui lebih kurang jam 4.20 petang pada Ahad.

"Difahamkan pihak polis membawa mangsa ke hospital untuk rawatan. Selepas ini, JPNJ akan ambil tindakan di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1995 Negeri Johor kerana memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit.

Iklan

"Keselamatan diri pendaki adalah penting. Jika berlaku perkara sebegini bukan sahaja pendaki sendiri yang terkesan tetapi juga akan menyukarkan banyak pihak, terutamanya pihak yang terlibat dengan urusan mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang berhasrat untuk masuk ke dalam hutan atau mendaki gunung memohon permit dari JPNJ dan dapatkan khidmat Malim Gunung Perhutanan yang berdaftar.

Iklan

"Selain itu bagi individu yang tidak biasa dan tidak pernah masuk hutan adalah tidak dibenarkan membuat pendakian secara berseorangan," ujarnya.