SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Perpustakaan Raja Tun Uda di sini bagi menyambut keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sabtu.
Kunjungan tersebut dimuat naik dalam hantaran Facebook Selangor Royal Office yang mana ia merupakan lawatan sulung Sultan Nazrin ke perpustakaan terbabit.
Turut berangkat sama ke perpustakaan berkenaan ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Menurut hantaran berkenaan, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengiringi Sultan Nazrin melawat ke ruang-ruang bacaan dan interaktif di perpustakaan terbabit.
"Baginda juga mengiringi Sultan Perak untuk melihat koleksi peribadi buku-buku yang Baginda sumbangkan kepada Perpustakaan Raja Tun Uda yang kini berjumlah 2,470 naskhah buku.
"Perpustakaan Raja Tun Uda yang dibuka pada 10 Disember 2011 adalah hasil cetusan idea Sultan Selangor, kini menempatkan lebih 360,000 naskhah buku dengan jumlah pengunjung mencecah 7.68 juta orang," kata hantaran tersebut pada Ahad.