PERTARUNGAN untuk merebut gelaran juara berterusan dalam kejohanan badminton Biz Link Properties Purple League Corporate 2021/2022 (BLPLC) apabila Top Glove Badminton Club meneruskan momentum kemenangannya buat minggu kedua berturut-turut dengan menewaskan Dr KO (12-5) dalam perlawanan sengit di Setapak Badminton Centre pada Ahad.
Beregu lelaki Lim Jihn Yih– Lim Jun Yang menyemarakkan semangat awal 'pengeluar sarung tangan getah asli terbesar dunia' itu apabila menumpaskan Datuk Lim Choon Seng – Lim Loong Meng 11-10, 11-9, 5-11, 11-10 dalam perlawanan pembukaan.
Top Glove Badminton Club meneruskan prestasi cemerlangnya apabila Lee Pui Min – Lyddia Cheah Yi Yu menyingkirkan Dhami Tu La Ram – Tiffany Chase 9-11, 11-3, 11-8, 11-2 dalam masa 20 minit dalam acara beregu campuran sebelum Dr KO menerima kekalahan ketiganya apabila pasangan beregu lelaki keduanya menarik diri.
Keputusan itu sekali gus memberikan kemenangan automatik kepada pasangan Top Glove Dato Jack Koh – Leong Wei Boon dengan kemenangan 11-0, 11-0, 11-0.
Namun Dr KO enggan menyerahkan kemenangan mudah kepada lawan dengan menyaksikan beregu wanitanya, Ng Sin Er-Tan Chew Ping mengetepikan Daphine Ng-Lee Kah Yee Stalwart manakala Soo Teck Zhi-Khim Bahadur Pariyar memenangi acara beregu lelaki ketiga apabila menewaskan wakil Top Glove Cheam June Wei – Lim Jin Feng 11-4,11-8,11-6.
Bagaimanapun, kemenangan pasangan itu gagal menghalang pasukannya daripada tewas 12-5 secara keseluruhan permainan.
Pengurus pasukan dan pemain Top Glove Badminton Club, Lim Jihn Yih jelas berpuas hati dengan prestasi pasukannya.
"Kemenangan yang amat baik untuk kami, dan kami percaya mampu mencapai sasaran kami untuk mara ke pusingan akhir.
"Menyertai kejohanan ini adalah satu penghormatan buat kami kerana boleh bersaing dengan syarikat-syarikat besar di negara ini,” katanya.
Sementara itu gergasi insurans AIG menjinakkan Sports Club China Press dalam perlawanan sengit, yang menyaksikan mereka menang bergaya 9-7.
Perlawanan tumpuan dalam pertembungan itu adalah apabila Muhammad Nazaryn-Tan Jia Wei memastikan kemenangan AIG setelah menumpaskan Goh Yung Seng – Ng Ka Yoon 11-8,11-9,11-6 dalam acara beregu lelaki.
Jia Wei yang baru kembali daripada menyertai kejohanan Terbuka Antarabangsa Bulgaria melahirkan rasa gembiranya kerana dapat menyertai kejohanan berprestij seperti BLPLC.
"Saya berterima kasih kepada AIG kerana mempercayai dan menyenaraikan nama saya ke dalam pasukan hebat ini.
"Saya juga gembira kerana dapat merasakan tahap kecergasan saya adalah setara dengan pemain-pemain lain, saya tidak sabar untuk bermain dengan lebih baik untuk perlawanan seterusnya,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Minggu kedua kejohanan ini akan diteruskan malam ini dengan Aeon Credit Service menentang Perbadanan Putrajaya manakala Sen Heng bertemu Oriental Real Estate pada jam 8 malam ini.
Kejohanan unik ini menampilkan 10 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dengan tiga pasukan teratas dari setiap kumpulan akan layak ke pusingan akhir.
Edisi kedua kejohanan ini dilangsungkan menggunakan format round robin pada peringkat awal yang dilangsungkan selama dua minggu dari 6 hingga14 Ogos.
Sementara pusingan akhir dijadualkan di Setapak Badminton Centre, Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Ogos.