KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi PKR Negeri Sembilan Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah pada Isnin mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Senator sebelum sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, dan ia merupakan lantikan semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkuat kuasa pada 15 Ogos 2022 hingga 14 Ogos 2025.
Dr Ahmad Azam yang berasal dari Kemaman, Terengganu, adalah Penolong Pemangku Presiden Syarikat Avian Farm (M) Sdn Bhd dan mula bergiat aktif dalam politik pada 1998 menerusi PKR.
Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Perubatan Veterinar dari Universiti Pertanian Malaysia, beliau pernah menjadi Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada 2018.
Sementara itu, Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan semula Ahli Dewan Negara itu mengingatkannya agar menggalas tanggungjawab itu dengan penuh dedikasi dan khidmat agar memberi impak yang menyeluruh kepada semua khususnya Dewan Negara.
"Bersama kita berharap semua Anggota Dewan Negara juga menjayakan program-program di bawah Rukun Negara dan di atas harapan itu, maka kita sektorkanlah pemerhatian dan tindakan hal-hal berhubung dengan sosial kemasyarakatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau juga meminta semua senator agar meneliti Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Tahun 2020 yang diletakkan di atas atas meja hari ini dalam usaha membanteras gejala rasuah sekali gus menjadikan Malaysia negara bebas rasuah. - Bernama