Projek perumahan didakwa ancam keselamatan penduduk

Iklan
Shamsul Iskandar (dua dari kiri) bersama Ahmad Haikal (kiri sekali), Misdar (tengah) dan Danial (kanan sekali) meninjau keadaan tanah runtuh yang sering berlaku setiap kali hujan.

MELAKA - Kira-kira 300 penduduk membabitkan 50 buah rumah di Kampung Seberang Anak Ayer dan Kampung Solok Paya Baru, Ayer Molek di sini, hidup dalam keresahan berikutan pembangunan projek perumahan dalam kampung itu didakwa mengancam keselamatan penduduk.

Penduduk mendakwa projek yang bermula sejak beberapa bulan lalu tidak dibina penghadang menyebabkan debu berterbangan dan mereka terpaksa menutup pintu dan tingkap setiap hari.

Iklan
Iklan

Penduduk Ahmad Haikal Abd Ajis, 30, berkata, dalam tempoh itu tiga orang anaknya berusia dua hingga enam tahun kerap sakit kerana didakwa berpunca dari debu tanah merah.

Malah menurutnya, dia terpaksa menyidai baju dalam rumah kerana tidak tahan dengan masalah debu yang teruk sekali gus menjejaskan kehidupan seharian.

Iklan

"Sebelum projek ini kita hidup aman dan tak ada berlaku pencemaran udara.

"Sekarang ini isteri saya terpaksa sidai baju dalam rumah untuk elak habuk melekat pada pakaian dan keluarga pula asyik demam," katanya.

Iklan

Warga emas, Misdar Tahir, 63, berkata, biarpun belum berlaku kejadian yang tidak diingini, namun dalam tempoh jangka panjang tidak mustahil hasil pertanian seperti getah dan sawit penduduk berdekatan akan berkurangan dan pokok-pokok mati.

Menurutnya, lokasi pembinaan yang tiada penghadang menyebabkan tanah merah yang ditambak tinggi turun ketika hujan sehinggakan melimpah atas jalan dan kebun penduduk.

"Hinggakan longkang lama berdekatan projek itu juga telah dipenuhi selut.

"Sepatutnya mereka korek agar kawasan itu tidak dinaiki air sekiranya hujan berpanjangan," katanya.

Bagi Danial Yaacob,37, berkata, sepanjang projek berjalan penduduk kerap berselisih dengan kenderaan berat sehinggakan terpaksa menggunakan jalan luar dengan jarak lebih jauh untuk ke tempat kerja dan hantar anak ke sekolah.

Ujarnya, longkang konkrit yang sedang dalam pembinaan juga didakwa menyebabkan jalan kampung menjadi kecil dan sempit selain boleh membahayakan pengguna kerana tidak ditutup.

"Kalau ada kenderaan berselisih memang sukar nak lalu terutama kenderaan berat seperti lori dan bimbang berlaku kemalangan terutama anak-anak yang menunggang basikal," katanya.

Shamsul Iskandar ( tengah) melihat keadaan longkang konkrit yang sedang dibina hingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di Kampung Seberang Anak Ayer dan Kampung Solok Paya Baru, Ayer Molek di sini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata, projek itu sewajarnya diteliti semula oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana didakwa mengganggu-gugat keselamatan dan keharmonian penduduk.

Menurutnya, penduduk tidak menolak sebarang pembangunan, namun setiap pembinaan itu harus mengambil kira aspek keselamatan mereka agar tiada insiden berlaku lebih-lebih lagi melibatkan nyawa penduduk.

"Kebiasaannya mana-mana projek yang berjalan akan didirikan penghadang bagi menggelakkan masalah debu namun di sini, itu tidak berlaku.

"Harap beberapa tindakan dapat diambil segera bagi memastikan penduduk dapat menjalani kehidupan seperti biasa sebelum projek itu bermula," katanya.