KEPALA BATAS - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dalam kejadian di Jalan Permatang Bertam, di sini pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira jam 8.05 pagi itu mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian kepala disahkan maut di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Menurutnya, mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Perai dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang remaja berusia 18 tahun.
"Akibat pertembungan itu salah seorang penunggang terpelanting ke atas jalan raya manakala seorang lagi terjatuh ke dalam longkang dan masing-masing mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan dan mangsa yang maut turut dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.
Mohd Radzi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.