Warga emas hilang enam hari ditemukan selamat

Iklan
Pasukan mencari dan menyelamat membawa Painah yang ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran lopak air dalam kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Parit Kasih Sayang Senggarang, Batu Pahat pada Isnin.

BATU PAHAT - Warga emas yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu semasa mencari lidi di kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Kasih Sayang Senggarang, di sini ditemukan dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Painah Siwan, 79, dijumpai penduduk yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 11.25 pagi pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Warga emas itu ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran lopak air dalam lingkungan jarak 900 meter daripada pos kawalan operasi.

"Ketika itu, terdapat bersamanya sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurut Ismail, warga emas itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dengan menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pada Rabu, Painah dilaporkan gagal dikesan selepas dikatakan ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya, kira-kira jam 3.30 petang Rabu lalu.

Iklan

Operasi pencarian digerakan melibatkan 187 pegawai dan anggota terdiri daripada polis dan bomba selain Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), APM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta penduduk setempat.