KUALA LUMPUR - Malaysia sedang aktif menjalinkan kerjasama dengan sembilan buah negara untuk pembangunan sektor halal di peringkat global setakat 30 Jun 2022, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, negara tersebut adalah Vietnam, Kemboja, Indonesia, Thailand, Arab Saudi, Rusia, Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.
"Kerjasama tersebut adalah dalam bentuk pembangunan rangka ekosistem industri halal untuk mempercepatkan kerjasama ekonomi dan intergrasi antara negara kesalinghubungan antara pasaran serantau.
"Ia akan melonjakkan peluang pertumbuhan ekonomi yang melibatkan produk dan perkhidmatan halal melalui pengembangan akses pasaran, galakan aktiviti pelancongan mesra muslim dan promosi pelaburan asing ke dalam negara masing-masing,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai senarai negara yang bekerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan sektor industri halal di luar Malaysia serta usaha perkongsian kepakaran industri halal Malaysia dengan negara lain.
Perkongsian kepakaran industri halal Malaysia dilakukan secara strategik untuk membentuk ekosistem industri halal global yang lebih komprehensif memandangkan industri halal global dijangka mencapai nilai AS$5 trillion menjelang 2030 berdasarkan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP), katanya.
"MITI melalui agensinya Halal Development Corporation (HDC) mempromosikan industri halal sebagai satu penanda aras terhadap nilai kualiti serta tahap keselamatan sesuatu barangan yang menepati piawaan atau standard antarabangsa dan bukan terhad kepada pasaran di negara muslim semata-mata,” katanya.
Ban Hong berkata, kerjasama tersebut dapat menggalakkan ketulusan yang lebih tinggi, perkongsian maklumat, memudahcara perdagangan, kerjasama ekonomi, serta penyeragaman piawaan dan peraturan antarabangsa berkaitan pensijilan halal Malaysia dimana ia akan membuka pasaran yang lebih luas kepada industri halal tempatan.
Selain itu, kerjasama tersebut juga merupakan kerjasama strategik yang dilakukan untuk meningkatkan jenama halal produk-produk yang dihasilkan di Malaysia dan menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke dalam industri halal serta seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
"Kerjasama ini juga adalah bagi mengenalpasti ketersediaan sumber bahan mentah yang dapat diperolehi dikalangan negara yang terlibat pada harga yang lebih kompetitif dan ia akan memantapkan intergrasi rantaian bekalan bahan mentah industri halal tempatan.
"Pembangunan dan kerjsama dalam sektor halal dengan negara yang dinyatakan akan mempelbagaikan barangan dan perkhidmatan halal yang berkualiti dipasaran dunia pada harga yang berpatutan dan ini akan beri kesan positif kepada pasaran halal dunia termasuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, ia akan menggalakan perkongsian teknologi dalam pengeluaran produk halal dan pembangunan bakat industri halal sedunia dan ini akan beri kesan positif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan. - Bernama