TANAH MERAH - Awas peniaga ingkar!.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang menggunakan alat timbang sukat yang diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Peniaga yang gagal mematuhi arahan akan berdepan tindakan tegas dan hukuman penjara selama empat tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Timbang Sukat 1972.
Ketua Cawangan KPDNHEP Tanah Merah, Wan Mohd Marzuki Wan Abdul Kadir berkata, semua perniagaan yang menggunakan alat timbang dan sukat dikehendaki membuat pengesahan dengan Syarikat Metrology Corporation Malaysia (MCM) Sdn Bhd.
Ini bagi mengelakkan supaya golongan peniaga tidak dikenakan tindakan atas kegagalan berbuat demikian.
Menurutnya, dia bersama MCM sebagai syarikat yang dilesenkan di bawah Akta Timbang Sukat 1972 akan melakukan operasi berterusan di seluruh jajahan ini.
"Operasi ini adalah bagi mengesan perniagaan yang melakukan kesalahan tersebut iaitu memanipulasikan timbangan dan sukatan.
"Ini kerana, semua alat timbang dan sukat yang digunakan di pasaran untuk tujuan perdagangan perlu disahkan setiap tahun dengan kesemua alat tersebut akan dilekatkan dengan pelekat keselamatan yang turut dicatatkan tarikh tamat tempoh sah untuk tujuan perdagangan.
"Alat timbang dan sukat itu termasuk alat timbang kenderaan, alat sukat linar, alat timbang emas, alat timbang pelantar, meter parkir, perakam masa, neraca spring, alat sukat isipadu cecair, pam dispenser di stesen minyak dan batu ujian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengetuai operasi ke atas alat timbang getah di sini.