LIPIS - Tempoh reman lima suspek kes menyerang dan memukul seorang tenaga pengajar dan pelajar pusat tahfiz di Kuala Lipis di sini disambung lagi sehingga Khamis ini.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Raub, Siti Aisyah Ahmad pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor memberitahu, kesemua suspek yang berusia 30-an akan dituduh bergantung kepada arahan Timbalan Pendakwa Raya.
Menurutnya, kertas siasatan telah dirujuk pada Selasa untuk arahan selanjutnya.
Dalam kejadian pada 11 Ogos lalu, kesemua suspek datang ke pusat tahfiz tersebut dan menyerang hingga menyebabkan kecederaan terhadap dua mangsa iaitu tenaga pengajar berusia 30-an dan pelajar berusia 11 tahun.
Dua suspek berjaya ditahan di Damak, Jerantut pada Jumaat manakala tiga lagi suspek ditahan pada Sabtu iaitu duanya di Terengganu dan seorang lagi di Felda Lepar Utara, Jerantut pada hari sama.
Insiden serangan itu tular di laman sosial Facebook dan mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek menyerang dan memukul mangsa di pusat tahfiz tersebut.