Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib kemuka bukti baharu

Iklan
Najib (tengah) ketika tiba di Mahkamah Persekutuan pada Selasa. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa, menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu antaranya berkaitan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar dan menjatuhi hukuman kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim sebulat suara membuat keputusan, dengan menyatakan bahawa bukti baharu yang dimohon oleh Najib selaku pemohon itu adalah tidak relevan dengan prosiding rayuan ini.

Iklan
Iklan

Maka katanya, ia gagal untuk memenuhi elemen kedua (Parks, seperti yang dinyatakan oleh Lord Parker CJ) iaitu ia mesti menjadi bukti yang relevan dengan isu yang ditimbulkan.

"Elemen itu juga membantah bukti tambahan berdasarkan khabar angin, keistimewaan dan pelanggaran kerahsiaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya ketika membaca penghakimannya.

Iklan

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Menyentuh isu berat sebelah, Tengku Maimun berkata, mahkamah berpendapat bahawa pemohon gagal mendedahkan sebarang hubungan antara Mohd Nazlan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap pemohon, maka mahkamah tidak perlu mempertimbangkan hujahan berkenaan.

Iklan

Mohd Nazlan merupakan hakim yang menjatuhi hukuman terhadap Najib atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC pada 28 Julai 2020 lalu.

Dalam pada itu, Tengku Maimun berkata, responden telah membantah pengakuan yang dicadangkan dalam bukti tambahan kerana berpendapat ia adalah berdasarkan khabar angin.

Selain itu, bukti tambahan 'viva voce' iaitu keterangan lisan oleh beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga katanya, dilindungi oleh hak istimewa di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Oleh demikian, mahkamah mendapati Najib gagal untuk melepasi elemen yang diperlukan sebagai mana mengikut Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964 maka usul yang dibawa ditolak.

Prosiding ditangguhkan sementara sebelum panel hakim-hakim membuat keputusan berhubung permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik secara lisan untuk menangguhkan prosiding rayuan berkenaan.

Dalam prosiding ini, selain Hisyam, Ahli Parlimen Pekan itu juga diwakili peguam Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, M Rueben dan Hannah Kam Zhen Yi.

Pihak responden pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V Sithambaram dan empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.