Tucson mewah dan agresif

Iklan

SUV terbaik dalam kelasnya

PERMINTAAN untuk kereta utiliti sukan atau SUV semakin meningkat dengan pesat. Ini menjadikannya satu segmen yang menarik bagi pengeluar-pengeluar kereta utama di seluruh dunia.

Pasaran SUV telah berkembang lebih cepat berbanding segmen kereta lain dari segi ciri-ciri reka bentuk, prestasi, keselamatan dan juga teknologi.

Iklan
Iklan

Bercakap soal teknologi, kini sudah menjadi trend syarikat pengeluar memperkenalkan varian turbo ke dalam barisan SUV mereka sebagai salah satu ciri utama. Tidak ketinggalan, salah satu daripadanya adalah Hyundai yang telah melancarkan Tucson baharu 1.6 Turbo pada pertengahan tahun 2018.

Baru-baru ini pula, pihak Hyundai memberi peluang kepada penulis untuk memandu uji jentera SUV Tucson varian paling tinggi iaitu 1.6 Turbo T-GDI. Dijual pada harga RM143,888, varian turbo petrol ini diposisikan sebagai yang tertinggi dalam barisan Tucson berbanding satu lagi varian 2.0 MPi (Elegance) yang berharga RM123,888.

Iklan

Suasana dalaman mewah

Pertama kali memasuki ke dalam ruang kabin Tucson 1.6 Turbo ini, mata terus dijamu dengan suasana dalaman mewah. Tempat duduk kulit yang selesa dengan keseluruhan bertemakan warna hitam dan diserikan jahitan sulam perkataan Tucson di bahagian tempat duduk. Papan pemukaanya juga cantik dan elegan. Ia adalah padanan di antara gaya progresif dan klasik melalui jarum meter analog.

Stereng balutan kulit pula 'sedap' digenggam dan boleh dilaraskan untuk keselesaan pemandu. Konsol tengah juga dilihat ‘bersih’ tanpa brek tangan yang digantikan suis brek elektronik dan suis mod pemanduan. Ia juga menerima ciri kelengkapan terkini seperti panel meter dengan skrin maklumat 4.2-inci berwarna, sistem pendingin hawa dwi zon automatik dan sistem audio dengan skrin 'terapung' 7-inci. Sistem ini menyokong sambungan USB, bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay.

Iklan

Beralih ke bahagian belakang, saiz ruang kaki selesa untuk penumpang dewasa manakala kerusi menyokong badan dengan baik. Menariknya, penumpang belakang turut menikmati keselesaan sama dengan penumpang hadapan menerusi corong penyaman udara pada bahagian konsol tengah.

Kerusi penumpang juga boleh dilipat untuk mendapatkan ruang bagasi belakang yang lebih luas. Untuk sebuah SUV, saiz ini sederhana sahaja dan lebih sesuai untuk cita rasa tempatan jika dapat dibesarkan lagi.

Luaran yang agresifCiri paling menonjol pada bahagian luar apabila model ini dipertingkatkan dengan kehadiran lampu utama projector LED - lampu siang dan lampu penjuru LED serta cat yang lebih gelap pada rim 17 incinya untuk penggayaan yang agak agresif. Padanan tayar Good Year bersaiz 225/60 R17 menjadikan cengkaman lebih kukuh dan ia membantu penulis mengawal jentera dengan baik.

Lampu belakang pula adalah jenis LED rekaan baharu yang memberikan Tucson gaya lebih segar dan moden. Model varian ini juga ditawarkan dengan gril Chrome Garnish, pemegang pintu krom, lampu LED dengan lampu posisi serta ciri Low Beam Assist-Static Lights. Ciri keselamatan terdiri daripada enam beg udara iaitu ABS, EBD, BA, hill start assist, hill descent control dan cagak ISOFIX.

Pengalaman pemanduan

Tucson baharu Hyundai digerakkan oleh enjin 1.6-liter Gamma T-GDi yang menghamburkan 177 PS pada 5,500 rpm dan 265 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Pada dasarnya, ia adalah enjin sama yang digunakan pada model Elantra Sport, namun sedan itu mempunyai pengecas turbo twin scroll manakala Tucson menggunakan pengecas turbo single scroll. Dipadankan dengan transmisi dwi klac tujuh kelajuan, enjin tersebut membuktikan keupayaannya untuk memacu SUV ini dengan bekalan tork yang konsisten. Ia juga bertindak balas kepada input pendikit dengan baik.

Apabila pedal minyak ditekan kuat, Tucson akan melonjak ke hadapan melakukan kerjanya walaupun penulis mencuba dengan empat penumpang dewasa. Pemanduan di atas jalan raya pula memberi pengalaman yang tenang.

Tuscon dengan kuasa turbo ini juga tidak gopoh. Ia selesa dipandu, responsif pada pergerakan stereng dan suasana dalam kabin yang tenteram. Selain memberi pemanduan lancar, ia juga memberikan penjimatan minyak yang baik. Dengan jentera ini, penulis memperoleh 600km perjalanan untuk satu isian penuh 60 liter.

Sudah tentu Tucson ini juga dapat meluncur pada kelajuan setinggi 160km/j sambil mengekalkan ketenangan dan keselesaannya. Benar-benar terasa seperti SUV lebih mewah dan penumpang belakang sukar untuk menyedari kelajuan tinggi yang anda pandu.

Terdapat juga tiga mod pemanduan pada Tucson varian 1.6 Turbo ini iaitu Eco, Normal dan Sport. Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan Super ECT dan pacuan 2WD. Jadi, jika anda mahukan lebih prestasi, laraskan sahaja butang mod pemanduan berdekatan dengan tombol gear dan pilih mod Sport dan sangat sesuai digunakan untuk memotong. Mod Eco turut disediakan untuk pemanduan yang lebih menjimatkan.

Apa yang penting, meskipun penulis menggunakan mod Eco, daya tujahan Tucson ini juga masih terasa dan tidak dirasakan terlalu berat apabila penulis menekan pedal minyak. Bagi penulis istilah ‘turbo lag’ atau ‘low power’ untuk jentera dan enjin ini tidak dirasai sama sekali.

Keselesaan pemanduan

Beralih ke aspek pengendalian, Tucson dilihat mampu menjalankan tugasnya dengan baik. Stereng tidak terasa terlalu ringan dan ‘kosong’, manakala badannya mempunyai keseimbangan yang baik walaupun ketika dipandu laju di selekoh. Ia tidak mempunyai dinamik seperti sebuah ‘hot hatch’, namun Tucson mampu membuatkan pemanduan terasa lebih seronok dan mudah.

Lebih mengejutkan penulis, apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, sistem gantungan hadapan McPherson Strut dan suspensi bebas jenis Multilink pada gandar belakang memastikan tiada olengan atau hilang cengkaman, manakala suspensi sport dibekalkan tidak terasa terlalu keras apabila mengharungi laluan tidak rata di jalan raya biasa. Elemen ini sebenarnya membuatkan penumpang belakang sangat selesa untuk menempuh perjalanan jauh.

Secara keseluruhannya, Tucson 1.6 Turbo adalah SUV boleh dikatakan berbaloi untuk dimiliki dengan kuasa dan aspek pemanduan yang memuaskan serta senarai ciri-ciri yang lengkap. Bagi penulis, kualiti pemanduan dan kestabilan kenderaan SUV ini juga baik, menjadikan ia lebih seperti sedan sambil mengekalkan kualiti yang dinamik sebuah SUV.

Spesifikasi Hyundai Tucson 1.6T

Enjin - Pengecas turbo, empat silinder

Kapasiti - 1,591 cc

Kuasa - 177 PS @ 5,500 rpm

Tork: 265 Nm @ 1,500 – 4,500 rpm

Transmisi - Dwi klac automatik 7 kelajuan

0-100 km/j: -

Kelajuan maksimum: -

Harga: RM143,888