KUALA TERENGGANU – Isu graduan kelulusan kejuruteraan memulakan kerjaya sebagai pemandu permotoran pemasaran tanpa memperolehi pekerjaan sesuai dengan kelulusan mereka di bidang teknikal wajar diberi perhatian serius.
Ketua Biro Profesional Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Ir Wan Nazari Wan Jusoh berkata, masalah itu juga dapat dikaitkan dengan pendedahan pada tahun 2020 bahawa hanya 19 peratus pelajar di negara ini yang memilih aliran sains ketika itu.
Menurutnya, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada akhir Julai lalu turut mengesahkan 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi bersedia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Ketiga-tiga senario ini amat membimbangkan terutama masa depan golongan muda semua bangsa di Malaysia dalam bidang profesional sekali gus memberi tempias kepada pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Wan Nazari berkata, secara asasnya, tanpa memasuki aliran sains di peringkat sekolah, negara akan kehilangan golongan profesional berasaskan aliran sains dan matematik (STEM) dalam masa 10 tahun akan datang.
Antara bidang profesional itu katanya adalah kedoktoran perubatan dan pergigian, arkitek dan kejuruteraan, teknologi maklumat dan bioteknologi, kefarmasian serta puluhan jenis kerjaya berpendapatan tinggi.
"Konsep memiliki ijazah akademik bidang profesional adalah dilihat sebagai jalan yang optimum untuk kerjaya yang berjaya, tetapi sesetengah graduan mendapati ini adalah sebaliknya.
"Walaupun kelayakan profesional ini diperolehi dengan kepayahan, namun graduan ini akan berakhir dengan pekerjaan seperti kerani, ejen insurans atau pekerja ekonomi gig sebagai cara untuk terus bertahan bagi menampung nafkah dan sara hidup mereka.
"Ini berlaku kerana mereka tidak mampu mendapat kerja berikutan kekurangan kekosongan jawatan berkaitan, gaji tidak lumayan dan tawaran diiklankan memerlukan beberapa tahun pengalaman,” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah segera yang agresif bagi mengenal pasti punca permasalahan berkenaan dan mencari solusi terbaik demi masa depan negara.
"Antaranya adalah memanggil badan profesional yang terlibat, persatuan dan individu berkepentingan yang mampu memberi input untuk duduk semeja membincangkan secara menyeluruh kaedah penyelesaian tanpa memikirkan sebarang kepentingan politik,” katanya.