SEREMBAN - Kempen PRK Dewan Undangan Negeri DUN Rantau yang memasuki hari keenam hari ini menyaksikan hanya dua daripada empat calon yang bertanding lebih aktif mendekati pengundi.
Meskipun menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon PH, BN dan dua calon Bebas, namun dua calon Bebas setakat ini didapati kurang menunjukkan kesungguhan untuk memenangi kerusi DUN berkenaan.
Ketika ini, liputan media lebih banyak tertumpu kepada aktiviti berkempen dua calon utama iaitu Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S Streram, 60, yang mewakili PH dan calon BN yang merupakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, 63.
Dr Streram yang juga pakar bius setakat ini telah merangka sekurang-kurangnya lima hingga enam program sehari, manakala Mohamad pula gerak kempennya sekitar satu atau dua sehari dan selebihnya tidak dimaklumkan kepada media.
Seorang daripada dua calon Bebas yang juga suri rumah R. Malarvizhi, 51, pula tidak banyak program direncanakan iaitu sekitar dua program sehari manakala bekas pensyarah Mohd Nor Yassin, 67, pula ‘hilang’ daripada radar kempen dan sehingga semalam belum lagi membuat penampilan sulungnya di Rantau.
Ketika BN menyusun strategi mempertahankan DUN Rantau yang disandang Mohamad selama tiga penggal sejak 2004, PH juga kelihatan lebih bersungguh-sungguh merampas DUN Rantau dengan menampilkan barisan pemimpin-pemimpin utama parti dalam beberapa program kempen.
Antara pemimpin utama PH yang hadir setakat ini ialah Presiden PH yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR telah berkempen sebanyak tiga kali di Rantau dengan yang pertama sewaktu hari penamaan calon 30 Mac lepas manakala Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, dua kali.
Difahamkan juga, Anwar akan turun berkempen selang sehari sehingga sehari sebelum hari mengundi 13 April ini.
Justeru ini menunjukkan bahawa PRK ini juga tidak diambil mudah kedua-dua belah pihak, malahan setiausaha organisasi DAP menyifatkan ia adalah ibu segala PRK selepas enam PRK sebelum ini yang empat daripadanya dimenangi PH manakala dua lagi oleh BN.
PRK DUN Rantau pada 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, Malarvizhi dan Mohd Nor.
Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.
Dr Streram menyatakan dengan kempen beliau kini mengetahui masalah penduduk dengan lebih mendalam, mengetahui kekurangan dan kemudahan yang perlu ditambah baik.
"Masyarakat juga kini tahu apa kelemahan dan kemudahan yang ada dan yang kita sudah perbaiki...Itulah anak jati, kita tahu masalah di Rantau," katanya mengulas gerak kerja kempennya setakat ini.
Calon bebas Mohd Nor Yassin masih belum memulakan lagi gerak kerja berkempen dan Mohd Nor hanya memaklumkan beliau sedang membuat persiapan dalaman.
Hari ini baharulah beliau menjemput media untuk turut sama membuat liputan kempennya seperti yang dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp.
Sementara, clon bebas R Malarvizhi berkata, sambutan daripada penduduk Rantau amat baik selepas melalui kempen selama lima hari untuk PRK itu.
"Sebagai orang baharu dalam politik, orang ramai menyokong saya dan mula mengenali saya berbanding pada kempen di hari pertama. Bila saya berjalan di sekitar bandar, orang ramai membunyikan hon dan mengatakan ‘saya akan undi anda’,” katanya.
Sementara itu Mohamad berkata, kempen beliau setakat ini berjalan lancar dan mengucapkan terima kasih kepada penceramah dalam kalangan pemimpin BN, baik UMNO, MCA, MIC, Makkal Sakti, IPF, Kimma dan juga, khususnya Pas.
"Kali ini kita menyatukan jentera pilihan raya kita antara Pas dan UMNO dan dalam keadaan tertentu kita juga menyatukan kempen rumah ke rumah kita dengan tidak menggunakan platform parti tetapi platform 'Team Tok Mat' iaitu gabungan parti komponen BN dan juga Pas.
"Pendekatan kita berbagai-bagai dan di Rantau ini kita menyatukan jentera pilihan raya Pas, baik di peringkat Pusat dan negeri serta Negeri Sembilan bersama dengan jentera UMNO di Pusat Daerah Mengundi (PDM)," katanya.- Bernama