JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee lebih selesa merendah diri menjelang aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar esok.
Biarpun pernah membenam skuad Sang Kenari 4-0 pada pusingan pertama di Likas April lalu, pengendali yang berasal dari Melaka itu menyifatkan perlawanan tersebut sudah tinggal sejarah.
Kim Swee juga percaya, skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak pasti mahu bangkit menebus kekecewaan selepas tersingkir pada peringkat separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 minggu lalu.
"Kita tidak boleh mengambil kira apa yang telah berlaku sebelum ini. Walaupun kita berjaya menewaskan KDA FC tempoh hari di Kota Kinabalu, tetapi ia merupakan jangka masa yang cukup lama lebih-lebih lagi pasukan lawan baru terkeluar daripada peringkat separuh akhir Piala AFC.
"Kita juga tidak boleh memikirkan tentang apa juga perkara yang akan berlaku selepas ini terutamanya kita tahu Negeri Sembilan FC berada di belakang kita. Kita harus kekalkan prestasi," katanya kepada Sukan Sinar.
Justeru, beliau menuntut para pemain untuk kekal konsisten bagi memastikan Sabah FC tidak tercicir sebarang mata sekali gus mencapai matlamat berada di kedudukan terbaik carta liga.
"Buat para pemain, kerap kali telah saya katakan yang kita tidak boleh mengambil mudah dengan mana-mana lawan, sama ada pasukan teratas mahupun pasukan terbawah liga.
"Sabah FC harus sentiasa mengekalkan corak permainan yang kita telah buktikan sebelum ini. Komitmen setiap pemain sama ada bermain atau berada di bangku simpanan atau berada di luar senarai harus mempunyai mentaliti yang cukup tinggi bagi memastikan kita layak ke peringkat yang lebih baik," katanya.