SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berpandangan, jambatan perpaduan yang menghubungkan dua parti dalam Muafakat Nasional (MN) tidak sepatutnya ‘dibakar’ kerana ia mungkin diperlukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu berkata, jambatan persaudaraan antara Pas dan UMNO tidak pernah putus walaupun terdapat perbezaan pendapat dan pandangan.
"Semua dah nak berlawan dalam pilihanraya kerana keperluan masing-masing. Itu normal bagi setiap parti. Dalam MN dahulu telah ada beberapa pilihan, MN bukan sekadar pilihan raya. Ia adalah jambatan perpaduan dan permuafakatan melangkau pilihan raya.
"Jika pertandingan tiga penjuru tak dapat dielakkan, kita bergerak pilihan akhir iaitu politik damai dan matang. Perlawanan adik beradik mencari yang terbaik. Persaingan sihat mesra rakan menawar khidmat kepada umat.
"Kita bersama selangkah seiring berpimpin tangan membina politik baharu, politik generasi ke hadapan untuk anak cucu mendatang,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pemimpin kedua-dua parti untuk tidak saling memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk kerana manusia diciptakan indah dan cantik.
"Elakkan serang menyerang yang membina persepsi. Bentangkan fakta secara ilmu dan dedikasi. Jangan sombong dan angkuh berbicara. Jangan menyindir yang keras dan pedas menghiris rasa,” katanya.
Sebelum ini Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan UMNO sebagai ‘harimau kena tembak’ dan pada masa yang sama, mempelawa parti itu menumpang kekuatan Pas di Kedah pada PRU15.
Sebagai membalas kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu, Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menolak pelawaan itu dan secara sinis berkata, sebagai parti yang dilabel sebagai ‘itik patah kaki’ dan ‘harimau kena tembak’, UMNO tidak mahu ‘merosakkan’ Pas.