Dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas

Iklan
Dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Triang dekat Bera pada Selasa. Foto Ihsan JBPM

BERA -Dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Triang dekat jeti Pasar Kerayong di sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N Kumaran berkata, kejadian melibatkan mangsa berusia 11 dan 15 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa datang bersama enam lagi rakan mereka ke lokasi kejadian.

"Namun hanya beberapa orang yang mandi termasuk dua mangsa terbabit dengan menggunakan pelampung tiub tayar lori di tengah sungai.

Iklan

"Tiba-tiba kedua-dua mangsa dipercayai terlepas daripada tiub terbabit dan terus dihanyutkan arus deras," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian ditangguhkan pada jam 7.15 petang dan bersambung pagi Rabu..Foto Ihsan JBPM

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pada jam 5 petang melibatkan pelbagai agensi terdiri bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pihak polis.

Iklan

"Operasi ditangguhkan kira-kira jam 7.15 petang dan bersambung esok pagi (Rabu)," jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, seramai enam anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat.

Ujarnya, operasi turut mendapat bantuan dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin, Temerloh serta polis dan APM.

"Tindakan operasi dengan membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian dan secara pencarian di permukaan dengan menggunakan bot fiber dan aluminium bomba," tambahnya.