MAHB rekod 7.8 juta penumpang pada Julai 2022

Iklan
Pergerakan penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi rangkaian lapangan terbangnya berjumlah 7.8 juta penumpang pada Julai 2022, bersamaan dengan 62.2 peratus paras seperti sebelum pandemik. - Gambar hiasan.

PERGERAKAN penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi rangkaian lapangan terbangnya berjumlah 7.8 juta penumpang pada Julai 2022, bersamaan dengan 62.2 peratus paras seperti sebelum pandemik.

MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu berkata, Malaysia merekodkan 4.8 juta keseluruhan pergerakan penumpang, dengan sektor antarabangsa mencatatkan jumlah tertinggi baharu seramai 1.6 juta penumpang sejak pandemik bermula dan sektor domestik kekal dengan jumlah di atas 3.0 juta.

Iklan
Iklan

MAHB juga berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mengalu-alukan penyambungan semula penerbangan Air Busan dari Busan, Korea Selatan dengan penerbangan tiga kali seminggu, penerbangan harian AirAsia ke Singapura dan tiga penerbangan seminggu ke Don Mueang.

"Batik Air dan AirAsia juga memulakan semula perkhidmatan penerbangan harian dari Kuala Namu, Medan dan penerbangan dua kali seminggu ke Cam Ranh masing-masing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA),” katanya.

Iklan

Selain itu, MAHB berkata KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) telah disenaraikan sebagai antara lapangan terbang terbaik dunia dalam kaji selidik terbaharu Airport Service Quality (ASQ) bagi suku kedua 2022.

"KLIA berkongsi pencapaian itu dengan tujuh lapangan terbang lain dalam kategori 40 juta penumpang setahun dan LGK merupakan satu-satunya lapangan terbang yang memperoleh skor penuh dalam kategori 2.0-5.0 juta penumpang setahun.

Iklan

”Pencapaian ini merupakan bukti kepada komitmen berterusan MAHB bagi memastikan kecemerlangan perkhidmatan dan operasi,” katanya.

Sementara itu, MAHB berkata lebih tiga juta jumlah pergerakan penumpang direkodkan di Istanbul SGIA pada Julai 2022. - Bernama