WALAUPUN hanya digandingkan sehari sebelum perlawanan, ia nyata bukan penghalang buat kuartet 4×100 meter (m) lelaki dan wanita dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk meraih emas dalam acara tersebut di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.
Kuartet 4×100m lelaki UPM yang dibarisi Andre Anura Anuar (pelari pertama), Muhammad Zulfiqar Ismail (pelari kedua), Benedict Ian Gawok (pelari ketiga) dan Mohd Rizzua Haizad Muhamad (pelari keempat) berjaya menamatkan larian dengan catatan masa 42.02 saat (s).
Pingat perak diraih kuartet dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membuat catatan masa 42.17s dan kuartet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menamatkan saingan di tempat ketiga selepas merekodkan 43.26s.
Bagi Muhammad Zulfiqar, dia mengakui persefahaman baik yang berjaya dibentuk mereka biarpun dalam tempoh singkat menjadi kunci kepada kemenangan itu.
"Walaupun pasukan ini pertama kali dibentuk, tetapi saya sangat berpuas hati dengan prestasi daripada semua pelari lain.
"Sebenarnya kami tak pernah berlatih bersama sebelum ini disebabkan gandingan ini dibentuk betul-betul sebelum acara ini bermula.
"Bagaimanapun, semua dapat lakukan yang terbaik dan berjaya hadiahkan satu pingat emas buat UPM," katanya kepada media ketika ditemui semasa majlis penyampaian pingat di Stadium UPSI, petang Selasa.
Sementara itu, kuartet wanita UPM yang dibarisi Mandy Goh Li (pelari pertama), Darshini K Murugan (pelari kedua), Nur Fatihah (pelari ketiga) dan Ng May Xin Winnie (pelari keempat) berjaya mengesahkan pingat emas buat mereka selepas membuat catatan masa 50.00s.
Pingat perak berjaya diraih kuartet dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan catatan masa 50.05s dan gangsa menjadi milik UPSI, 53.75s.
Setakat ini, UPM cemerlang di arena trek dan balapan SUKIPT 2022 apabila berjaya mengutip enam daripada 11 emas yang dipertandingkan pada Selasa.