SEJAK akhir-akhir ini, Merak Jalanan nampak begitu banyak konsert yang akan diadakan di Malaysia. Bukan sahaja artis tempatan, malah artis luar negara pun ramai yang akan datang ke negara ini.
Merak Jalanan tak ada masalah dengan mana-mana artis yang nak buat konsert. Merak Jalanan faham antara punca rezeki mereka adalah dengan persembahan pentas.
Lagipun sudah hampir tiga tahun dunia hiburan sepi, barulah kini artis-artis dapat 'bernafas' semula dengan mengadakan konsert.
Namun yang menjadi kemusykilan Merak Jalanan ialah sambutan penonton. Dulu ramai yang mengadu hidup susah kerana pandemik Covid-19 sehingga mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kemudian mengeluh pula dengan harga barang yang semakin meningkat. Sehingga kini pun, harga barang masih tidak turun, malah seluruh dunia turut mengalami inflasi, tidak terkecuali Malaysia.
Kalau dahulu pergi ke pasar dengan RM50 boleh dapat 10 barang, tetapi kini dengan jumlah duit yang sama mungkin lima barang saja boleh dibawa pulang.
Persoalan Merak Jalanan sekarang, dalam keadaan rakyat susah, begitu banyak konsert-konsert diadakan. Siapa pula yang nak menontonnya?
Merak Jalanan tengok harga tiketnya pun boleh tahan, mencecah ratusan ringgit sekeping. Yang peliknya, laris macam pisang goreng panas.
Tidak ada masalah kalau yang membeli tiket konsert itu adalah golongan T20. Tapi kalau ada golongan B40 yang sanggup mengikat perut semata-mata nak tengok konsert, Merak Jalanan nasihatkan, lebih baik gunakan wang untuk perkara lain yang lebih penting.
Bukan bermakna Merak Jalanan anti konsert. Tak salah membantu merancakkan industri seni negara. Cuma Merak Jalanan bimbang ada yang bersusah payah ikat perut semata-mata untuk ‘kesenangan’ artis kesayangan mereka.