HULU SELANGOR - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang dari rumah ibu saudara di Jalan Meranti, Bandar Utama, Batang Kali sejak 21 Julai lalu ditemui selamat pada Isnin.
Adik mangsa, Zafiah Eni Zainuddin, 29, berkata, seorang wanita pada Ahad telah menghubunginya memberitahu mangsa, Zakiah Yusra Zainuddin, 31, atau dipanggil Kiah berada di Muar, Johor sepanjang dilaporkan hilang.
Menurut Zafiah Eni, mangsa memberitahu dibawa seseorang ke sana untuk berjalan-jalan selain mahu mencari kerja sebelum dia diserahkan kepada pihak ketiga.
"Pada Ahad (14 Ogos), saya dapat berita daripada seorang wanita dari Muar, Johor mengatakan terjumpa hantaran tentang kehilangan Zakiah dan menghubungi saya untuk kepastian.
"Selama tarikh hilang 21 Julai hingga 14 Ogos, Zakiah tinggal di rumah wanita itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Zafiah Eni berkata, Zakiah kemudian pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas sebelum mengambil teksi ke rumah sepupu di Selayang pada Isnin.
"Dia tidak terus pulang ke rumah di Batang Kali kerana terlupa alamat menyebabkan dia pergi ke rumah sepupu sebelum saya datang menjemputnya.
"Saya telah membuat pemeriksaan ke atasnya dan dia berada dalam keadaan baik serta selamat," katanya.
Dalam masa sama, Zafiah Eni turut mengucapkan terima kasih semua pihak yang banyak membantu dalam pencarian kakaknya itu menerusi sebaran hantaran di media sosial sehingga Zakiah berjaya ditemui dalam keadaan selamat.