SHAH ALAM - Akibat kecuaian sendiri, kerjaya dan reputasi seorang pakar kulinari berakhir di sebalik tirai besi atas kesalahan pelanggaran kontrak perniagaan.
Banduan yang ingin dikenali sebagai Roy itu berkata, kesalahan tersebut menyebabkan dia dihukum penjara selama dua tahun dan tiga sebatan di Penjara Kajang, Selangor.
Menceritakan semula kisah hitam tersebut, Roy mengakui, kejatuhan kariernya sebagai 'Raja Dapur' akibat terlalu mempercayakan rakan kongsi.
"Kita buka satu bisnes dan kita dapat kontrak daripada kerajaan.
"Bila rakan kongsi saya langgar kontrak, habis semua tutup, dia punya 'founder' (pengasas) cari, bila cari mereka siasat balik akaun bank syarikat.
"Syarikat milik saya, nama saya dan pakai akaun bank saya. Jadi sayalah yang kena jawab," katanya dalam sebuah video Iktibar Tirai Besi yang bertajuk Raja Dapur Tersungkur pada Isnin.
Ulas Roy, hukuman penjaranya bermula 19 September tahun lepas dan dijangka bebas pada 2023.
Menurutnya, kesalahan yang dilakukannya itu amat memberi kesan mendalam kepada hidupnya.
"Sebab kecuaian yang saya lakukan ini, rumah tangga goyang dan isteri minta cerai.
"Dalam tiga bulan pertama dihukum penjara, hukuman bukan berakhir di situ sahaja, keluarga pun hukum (saya) dan isteri pun minta cerai," ujarnya.
Katanya, dia kini menjalani pemulihan di dapur kafe Penjara Kajang dengan menggunakan skil memasaknya untuk memasak makanan banduan-banduan lain.
"Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan dalam penjara, saya akan sentiasa ingat walau di mana saya berada.
"Biasanya kita masak untuk VIP (golongan kenamaan). tapi dalam penjara ini orang akan hargai dan ucap terima kasih itu dari hati," ujarnya.