Pangkalan data bersepadu bantu tangani isu perumahan

Iklan
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR - Pangkalan Data Bersepadu Perumahan yang diwujudkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal menangani isu pemilikan rumah selain membuat unjuran yang lebih tepat berhubung perumahan di Malaysia.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata pangkalan data itu membantu mengelakkan isu lambakan rumah yang tidak terjual selain pembinaan rumah di lokasi yang tidak strategik.

Iklan
Iklan

"Pangkalan data ini membolehkan KPKT membuat analisis agar rumah yang akan dibina adalah sesuai dengan kehendak dan dapat diselaraskan dari segi reka bentuk, harga, jenis rumah dan sebagainya,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (PH-Jerlun) yang ingin tahu keperluan membangunkan Pangkalan Data Bersepadu Perumahan.

Iklan

Mengulas lanjut, Zuraida berkata pangkalan data yang diwujudkan di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) terdahulu adalah berbeza kerana ia hanya melibatkan angka permintaan perumahan dan tidak mempunyai data lengkap berkaitan beberapa aspek lain seperti pendapatan dan faktor sosial.

Justeru, katanya, berlaku ketidakpadanan dalam pembinaan rumah sekali gus menyebabkan banyak rumah tidak terjual.

Iklan

Tambah Zuraida, KPKT komited untuk membina sejuta rumah dalam tempoh 10 tahun yang melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan sektor swasta.

Menyasarkan pembinaan 100,000 unit setiap tahun, KPKT terlibat dalam membina hampir 60 peratus rumah mampu milik iaitu 546,000 unit manakala kementerian lain sebanyak 155,788 unit, kerajaan negeri 153,212 unit dan pihak swasta 145,000 unit. - Bernama