KBS mahu jadikan Malaysia tumpuan aktiviti e-sukan

Iklan
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker (dua, kiri) bergambar bersama Penolong Naib Presiden Hiburan dan Acara Genting Malaysia Berhad Roger Ong (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI) Ahmed Faris Amir (dua, kanan) dan Pengarah Urusan ESL Malaysia Sdn Bhd Caitlin Kang (kanan) pada sidang media Electronic Sports League (ESL) One Malaysia 2022 hari ini. - Foto Bernama.
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan terus membangunkan infrastruktur e-sukan yang diperlukan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara tumpuan aktiviti sukan berasaskan permainan video itu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, perkara itu sememangnya ada dalam Pelan Strategik Pembangunan e-Sukan 2020-2025 selain daripada penganjuran aktiviti dan pertandingan.

Katanya, e-sukan adalah industri yang sedang berkembang dan mampu memberikan impak ekonomi besar dengan jumlah penonton mencecah 435 juta di seluruh dunia.

"E-Sukan juga adalah perniagaan berjuta dolar dengan industri e-sukan saja pada 2022 dijangka menjana AS$1.6 bilion,” katanya ketika ditemui selepas sidang media kejohanan ESL One 2022 di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Lian Ker berkata, keupayaan Malaysia menganjurkan kejohanan ESL One yang mengumpulkan 12 pasukan terbaik seluruh dunia memberi petanda positif tentang potensi Malaysia untuk terus dipilih menganjurkan kejohanan e-sukan bertaraf antarabangsa pada masa depan.

"Kita boleh lihat kepada kejohanan ESL One kali ini, jualan tiket habis sepenuhnya dengan lebih 4,000 sudah terjual. Malah, jumlah tontonan dijangka sekitar 15 juta memandangkan pasukan bertanding mempunyai saiz peminat yang besar,” katanya.

Sebanyak 12 pasukan bertanding pada kejohanan ESL One 2022 yang akan berlangsung di Resorts World di Genting Highlands dari 23 hingga 28 Ogos ini antaranya Team Secret, OG, Fnatic, Alliance, Team Liquid, Nigma Galaxy, Entity, Team Aster, Boom Esports, Talon Esports, TSM FTX dan Thunder Awaken.

Mereka akan bersaing dalam permainan video Dota 2 untuk merebut hadiah keseluruhan berjumlah AS$400,000 (RM1.78 juta).

Sebagai rekod, kejohanan ESL One 2022 adalah edisi ketiga dianjurkan di Genting Highlands selepas mendapat sambutan hangat pada 2017 dan 2018. - Bernama.