Azeem tolak tawaran jadi atlet profesional

Iklan
Azeem

PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menolak peluang sebagai atlet profesional yang menawarkan bayaran lumayan demi komitmennya terhadap pelajaran.

Pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter itu berkata, matlamatnya pada usia 18 tahun ini adalah untuk menjadikan pelajaran sebagai fokus utama bagi menjamin masa hadapan yang lebih baik.

Iklan
Iklan

"Saya pastinya tidak akan berlari seumur hidup, tidak akan bersukan seumur hidup.

"Saya punya pendirian ketika ini mahu fokus kepada pelajaran sebelum menjadi atlet profesional," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Atlet Negeri Perak di Dewan Serbaguna di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Iklan

Mengulas mengenai tawaran sebagai atlet profesional, Azeem berkata, tawaran itu diterima daripada beberapa ejen yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Eropah sebaik tamat Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, minggu lalu.

Katanya, perbincangan bersama ejen mengenai tawaran itu telah dilakukan dan berkemungkinan besar menolaknya secara baik.

Iklan

"Untuk masuk ke universiti di AS (Amerika Syarikat), tujuannya untuk sertai kejohanan NCAA (National Collegiate Athletic Association).

"Jadi hendak masuk NCAA, sedikit sebanyak ada peraturan ketat antaranya kita tidak boleh jadi atlet profesional, kita perlu berpegang kepada gelaran sebagai 'student athlete'.

"Jadi pada saya bukan masanya lagi (atlet profesional), masa akan datang Insya-ALLAH benda-benda macam ini (tawaran) akan ada juga," katanya.

Beliau turut mengakui belum membuat keputusan mengenai tawaran melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di Amerika Syarikat.

Jelasnya, selain dua universiti berada dalam pertimbangannya iaitu Universiti Houston dan Universiti Auburn, terdapat lebih 10 universiti lain antaranya di Louisiana, Texas A&M dan Georgia turut membuat tawaran sama.

"Saya mendapat nasihat daripada MSN (Majlis Sukan Negara) untuk kita dengar dahulu semua tawaran dan akhirnya baru buat perbincangan untuk membuat pilihan yang tepat.

"Perkara ini bukan main-main kerana untuk masa depan saya juga, jadi saya harap orang ramai mendoakan semoga saya dapat membuat pilihan yang tepat," katanya.