'Saya rasa bersalah jika terus terima zakat'

Iklan
Surat yang dihantar Nik Muhammad kepada LZS yang turut dikongsi di laman Facebook agensi itu pada Selasa.

SHAH ALAM - Bapa empat anak terdorong untuk memohon agar bayaran bantuan zakat ke atas dirinya dihentikan kerana dia tidak mahu rasa bersalah apabila sudah mampu menanggung keluarganya.

Nik Muhammad Halizu Awang, 46, yang mula menerima zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak 2018 bertindak sedemikian kerana mahu asnaf yang lebih layak menerima bantuan zakat tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut Nik Muhammad, dia memohon bantuan zakat ketika itu kerana pendapatan diperoleh sebagai peniaga produk kesihatan tidak menentu, malah tidak mampu membayar yuran tuisyen anaknya di sekolah.

Namun katanya, selepas empat tahun menerima zakat LZS, kini pendapatan keluarga itu termasuk pendapatan isteri sebagai penyedia makanan di sebuah kilang semakin baik berbanding sebelumnya.

Iklan

"Saya tidak mahu dan akan rasa bersalah jika masih menerima bantuan zakat LZS ketika pendapatan saya kini semakin baik dan dijangka bertambah dalam RM200 hingga RM300 pada September.

"Saya kena bertindak cepat sebelum September agar bantuan zakat yang saya terima dihentikan kerana ramai lagi asnaf yang susah di luar sana ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Ketika ditanya jumlah pendapatan kasar keluarganya, beliau berkata, walaupun tidak banyak dan hanya berjumlah sekitar RM1,400 sehingga RM1,700 sebulan namun ia sudah cukup untuk mereka.

"Perniagaan saya dan isteri bergantung kepada rezeki, namun saya yakin dengan usaha yang dilakukan secara berterusan, moga pendapatan kami akan menjadi semakin baik di masa depan.

"Saya juga berazam untuk menjadi pembayar zakat kerana saya amat memahami situasi sekarang yang telah menyebabkan ramai keluarga memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan mereka," katanya.

Pada Selasa, tindakan seorang penerima zakat dari Kajang yang menghantar surat memohon ditamatkan bantuan bulanan kepada LZS mendapat pujian berikutan sikap amanah yang sukar ditemui ketika ini.

LZS menerusi perkongsian di Facebooknya memaklumkan, menerusi surat bertarikh 12 Ogos itu, penerima terbabit membuat permohonan dihentikan bayaran zakat kerana pendapatan hariannya dijangka mulai stabil.

Menurut agensi itu, penerima terbabit sebelum ini mengajukan permohonan itu kepada LZS di cawangan agensi itu di Bandar Baru Bangi dan memaklumkan pendapatan bulanannya dijangka stabil pada September 2022.